
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Maimunah Mohd Sharif, berkata tindakan itu diambil bagi memberi laluan kepada siasatan dalaman dan oleh polis supaya ia dapat dijalankan secara bebas, telus dan menyeluruh tanpa campur tangan.
Katanya, keputusan itu juga dibincang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
“DBKL memandang serius kejadian ini dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku warga kerja. Sekiranya dibuktikan bersalah, terutama yang menjejaskan integriti dan kepercayaan awam terhadap institusi penguatkuasaan.

“DBKL kekal berprinsip untuk menegakkan tadbir urus berintegriti, bertanggungjawab dan berteraskan prinsip keadilan kepada semua pihak. Sebarang keputusan akan ditentukan setelah siasatan penuh selesai,” katanya dalam kenyataan.
Insiden yang tular di media sosial semalam menunjukkan anggota penguat kuasa DBKL didakwa mengasari seorang penjaja belon dipercayai tanpa lesen di kawasan itu.
Ia tercetus apabila penjaja terbabit dikatakan tidak memberikan kerjasama dengan menghalang tindakan penguat kuasa, dan individu lain dipercayai peniaga yang berada berdekatan turut masuk campur sehingga menyebabkan kekecohan.
Semalam, DBKL dalam kenyataan memberikan penjelasan apa yang dikatakannya situasi sebenar berlaku.
Katanya, ketika melakukan rondaan berkala di lokasi itu pada malam Jumaat lalu, anggota penguat kuasa mendapati beberapa penjaja tanpa lesen menjalankan perniagaan di laluan pejalan kaki, menghalang pergerakan orang ramai dan menyebabkan kesesakan.
“Anggota penguat kuasa kemudian menegur penjaja-penjaja ini terlebih dahulu dan mereka memberikan kerjasama dengan beredar, kecuali seorang penjaja belon yang enggan mematuhi arahan kemudian bertindak agresif,” katanya.
Sementara itu, Maimunah berkata pengarah eksekutif (sosio ekonomi) dan pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL menziarahi peniaga itu Muhamad Za’imuddin Azlan yang kini menerima rawatan di hospital.
Katanya, DBKL akan mempertimbangkan untuk menanggung kos rawatan lelaki itu sepanjang tempoh rawatan tertakluk kepada semakan lanjut dan keperluan perubatan semasa.
Dalam pada itu, Harian Metro melaporkan Ketua Polis Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman, memaklumkan pihaknya merakam keterangan lima saksi berhubung insiden berkenaan setakat ini.