
Dalam video tular, kereta jenis Proton Gen 2 marak terbakar, disusuli bunyi letupan mercun, dengan beberapa mercun jenis roket terbang ke atas lalu meletup.
Ketua Polis Manjung, Hasbullah Abd Rahman, berkata pihaknya menerima laporan sekitar 5.30 petang semalam memaklumkan kejadian kebakaran itu.
Katanya, sebelum kebakaran berlaku kereta itu mengalami kerosakan, dengan pemandu cuba menghidupkan semula, namun ternampak kepulan asap keluar.
Menurutnya, asap berkenaan keluar dari tayar belakang sehingga mencetuskan api.
“Pemandu menyatakan ada meletakkan mercun untuk digunakan semasa Hari Raya dalam but kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kebakaran kereta itu berjaya dikawal bomba.
“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi bilik gerakan IPD Manjung di 05 6886222.