Kerajaan jamin bekalan keperluan asas cukup jelang Aidilfitri

Kerajaan jamin bekalan keperluan asas cukup jelang Aidilfitri

Walaupun ada laporan ketidakcukupan bekalan namun jumlahnya tidak banyak.

Mohamad Sabu
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu dalam majlis pelancaran Semarak Syawal 1446 Hijrah peringkat kebangsaan di Pasar Tani Taman Sri Andalas, Klang. (Gambar Bernama)
KLANG:
Kerajaan beri jaminan bekalan keperluan barangan asas seluruh negara mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri minggu depan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata walaupun kementeriannya menerima laporan ketidakcukupan bekalan, namun jumlahnya tidak banyak.

“Ada kelompang satu dua (kawasan) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan bertindak segera untuk lokaliti yang mengalami masalah. Ia tidak banyak.

“Tahun ini aduan itu amat kurang. Semua (bekalan) sampai pada pengguna,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis pelancaran Semarak Syawal 1446 Hijrah peringkat kebangsaan di Pasar Tani Taman Sri Andalas.

Dalam pada itu, Mohamad berkata kementerian turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak, khususnya dalam menyokong usaha kerajaan memastikan harga barangan tahun ini terkawal dan berada pada paras agak rendah.

“Seperti disebut oleh perdana menteri sebelum ini, dalam sejarah beliau menyertai dalam kerajaan dari tahun 1982, katanya inilah kali pertama menjelang hari raya harga barang tidak naik bahkan ia turun.

“Susulan itu saya ucapkan terima kasih khususnya kepada petani, pengusaha ayam dan telur sebab kita ada buat libat urus, berbincang secara berterus terang. Mereka memberi sokongan pada usaha-usaha dibuat yang menyebabkan harga barangan tahun ini nampaknya berada pada paras agak rendah,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata sebanyak RM16 juta nilai jualan direkodkan setakat hari ini, menerusi program Semarak Syawal 1446 Hijrah yang berlangsung di 262 lokasi seluruh negara bermula 22 Mac hingga esok.

Beliau berkata, selain di Pasar Tani Taman Sri Andalas, jualan khas turut diadakan di 42 lokasi terpilih di seluruh negeri dengan diskaun sehingga 30% bagi Bakul Madani Raya dan potongan harga sehingga 20% bagi ayam proses.

“Fama terus komited dalam memastikan pengguna mendapat produk berkualiti dengan harga berpatutan, di samping memperkukuh peranan pasar tani sebagai platform utama bagi petani dan usahawan tempatan. Inisiatif ini juga sejajar dengan usaha kerajaan dalam memperkasakan keterjaminan makanan negara serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Antara pengisian menarik program berkenaan termasuk jualan produk keperluan raya seperti ketupat, santan, daun palas, daging ayam dan lembu serta pelbagai jenis kuih raya pada harga berpatutan.

Selain itu, jualan khas turut melibatkan penyertaan usahawan tempatan, pihak swasta serta agensi kerajaan yang menawarkan Kombo Madani (400 bakul), jualan ‘happy hour’ serta promosi harga istimewa bagi ayam dan santan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.