
Laut tenang, tetapi hatinya bergelora rindukan isteri dan anak yang baru berusia empat tahun, nun jauh di selatan tanah air.
Syawal kali ini adalah yang pertama Affiq bertugas di atas kapal APMM, KM Danga demi menjaga perairan negara.

“Saya beritahu isteri yang saya perlu bertugas. Tipulah kalau saya cakap tidak sedih, tapi demi negara, saya rela berkorban,” katanya kepada FMT.
Kehidupan Affiq, 30, berubah 100% sejak menyarung seragam APMM kira-kira tiga tahun lalu. Sebelum ini, dia adalah jurutera.
“Mulanya, saya alami kejutan budaya, tapi bila bekerja dengan pegawai pemerintah kapal yang banyak berkongsi ilmu menjadikan tugas saya lebih seronok. Saya ambil satu persatu ilmu ini,” katanya.

Nur Affiq mengakui dirinya semakin selesa ‘membelah’ lautan saban hari walaupun sedar risiko dan ancaman bakal dihadapi.
Bagi Pegawai Pemerintah KM Danga, Muhammad Rasul Abu Bakar, menyambut Ramadan dan Aidilfitri di tengah lautan sudah menjadi perkara biasa baginya yang 15 tahun mengabdikan keringat menjaga kedaulatan negara.
Walaupun Rasul, 40, kelihatan tegas ketika mengarahkan navigasi kapal, jauh di sudut hatinya, ada rasa sayu teringatkan keluarga di kampung halaman.

“Pada mulanya selalu juga anak demam, (mereka tanya) ‘babah’ kat mana? ‘Babah’ kat mana? Bila ‘babah’ hendak balik? Lama-lama, kita boleh terangkan pada mereka ‘Babah’ bekerja di laut.
“Beraya di laut atau di darat, sama sahaja. Ia bergantung pada diri kita. Apa benda pun, niat kita (bekerja) demi Allah untuk negara,” katanya yang berkhidmat di enam negeri setakat ini.
Berbuka puasa dan solat tarawih
Seharian memantau dan memeriksa puluhan bot serta kapal di perairan Selangor, waktu maghrib pun tiba dan semua 24 anak kapal KM Danga berkumpul untuk berbuka puasa, kemudian mereka berjemaah mengerjakan solat tarawih.
Selesai solat, rutin operasi diteruskan. Waktu ini, KM Danga berlayar dalam keadaan semua lampu dipadamkan. Dipanggil ‘blackout’, ia untuk memastikan kerja mengawasi laut lebih jelas dan lancar.
Dengan hanya diterangi cahaya bulan, KM Danga yang dikemudi Jamaluddin Abdul Manaf, bergerak laju membelah lautan malam. Pengalaman 33 tahun di lautan menjadikan Jamaluddin, 56, sudah biasa berjauhan dengan keluarga.
Sebagai antara kru paling berpengalaman, Jamaluddin berkata Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi menahan ujian jiwa berjauhan dengan keluarga demi keamanan negara.

“Kerjaya ini berbeza daripada perkhidmatan awam lain, hati kena betul-betul cekal,” katanya yang pernah berkhidmat dalam tentera laut selama 14 tahun, sebelum menyertai APMM.
Ketika umat Islam sibuk membuat persiapan menyambut Syawal, KM Danga bersama anak kapalnya antara pasukan keselamatan yang terus menjaga kedaulatan negara.