Ahli perniagaan bergelar Tan Sri ditahan disyaki tipu RM10 juta

Ahli perniagaan bergelar Tan Sri ditahan disyaki tipu RM10 juta

Lelaki berusia 59 tahun itu dipercayai menipu beberapa mangsa bagi menyelesaikan kes ubah wang haram.

handcuff
Lelaki berusia 59 tahun itu ditahan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla) Bukit Aman sebaik tiba di kediamannya di Jalan U-Thant, petang tadi selepas pulang dari Osaka, Jepun.
KUALA LUMPUR:
Polis menahan seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri dipercayai menipu wang orang ramai sebanyak RM10 juta dengan alasan untuk diserahkan kepada polis bagi menyelesaikan kes pengubahan wang haram.

Sumber berkata lelaki berusia 59 tahun itu ditahan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla) Bukit Aman sebaik tiba di kediamannya di Jalan U-Thant, petang tadi selepas pulang dari Osaka, Jepun.

“Suspek setakat ini sudah mengambil wang daripada mangsa kira-kira RM10 juta yang sebelum itu beliau dikatakan meminta RM25 juta dengan mendakwa mempunyai kenalan rapat dengan polis dan boleh menyelesaikan kes dihadapi mereka.

“Malah suspek menjelaskan kononnya wang diambil itu akan diserahkan kepada polis bagi membantu mangsa supaya tidak dikenakan tindakan atau disiasat membabitkan kes Amla,” katanya kepada Bernama .

Sumber memaklumkan, bagaimanapun kegiatan suspek sudah dihidu oleh pasukan Amla Bukit Aman yang kemudiannya menjalankan risikan dan siasatan sebelum menahan lelaki itu petang tadi.

“Suspek yang juga merupakan tokoh berpengalaman selama 30 tahun dalam perniagaan industri minyak dan gas serta merupakan pengerusi kepada sebuah syarikat itu akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapat perintah tahanan reman,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain ketika dihubungi Bernama mengesahkan bahawa satu sidang media berkaitan kes itu akan diadakan dalam masa terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.