
Ahli Bersatu Badrul Hisham Shaharin, yang juga dikenali Chegubard, berkata beliau dibebaskan kerana “tekanan ramai” sebelum solat Jumaat hari ini.
FMT sedang mendapatkan pengesahan daripada polis.
Semalam, Zamri ditahan di Perlis dan dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar pagi tadi bagi mendapatkan perintah reman.
Reman dua hari dibenarkan terhadap Zamri bagi membantu siasatan berhubung catatan di Facebook, berkait Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata kes disiasat mengikut Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia susulan satu laporan, yang mana pengadu meminta polis siasat Zamari atas komen yang didakwa mengandungi unsur hasutan dan mencemarkan agama Hindu.
Pelan memindahkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman untuk memberi laluan kepada pembinaan masjid mencetuskan pelbagai reaksi daripada orang ramai.
Jakel Trading Sdn Bhd memperoleh tanah itu pada 2012 dan lapan tahun kemudian mendapat kebenaran membina sebuah masjid, namun menangguhkan proses itu bagi ‘menghormati’ proses pemindahan kuil.
Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mengumumkan kuil itu akan dipindahkan 50m dari lokasi semasa.
Jawatankuasa kuil telah bersetuju ia dipindahkan ke lokasi baharu berkeluasan 4,000 kaki persegi, sepadan dengan saiz rumah ibadat itu.