Semak SOP pertukaran kru hujung minggu, cuti umum, Imigresen diberitahu

Semak SOP pertukaran kru hujung minggu, cuti umum, Imigresen diberitahu

Pengusaha syarikat perkapalan R Jeyenderan berkata penutupan perkhidmatan imigresen pada hujung minggu, cuti umum jejas proses pertukaran kru di beberapa pelabuhan utama.

Port Klang
Syarikat perkapalan berharap proses imigresen di pelabuhan dapat dilancarkan semasa hujung minggu, cuti umum.
PETALING JAYA:
Sebuah syarikat perkapalan menggesa Jabatan Imigresen menyemak semula SOP berkaitan pertukaran kru kapal di pelabuhan seluruh negara bagi memastikan kelancaran operasi maritim.

Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd R Jeyenderan mendakwa penutupan perkhidmatan imigresen pada hujung minggu dan cuti umum telah menjejaskan proses pertukaran kru di beberapa pelabuhan utama.

“Sebagai contoh, pertukaran kru di Pelabuhan Pasir Gudang dan Pengerang tidak dapat dilakukan pada hujung minggu dan cuti umum bagi kru yang memegang pas khas dari Sri Lanka, Pakistan, Bangladesh dan Myanmar.

R Jeyenderan.

“Perkhidmatan pertukaran kru juga tidak tersedia di pelabuhan Melaka, Butterworth, dan Lumut pada Sabtu dan Ahad.

“Malah, tiada garis panduan rasmi untuk dirujuk oleh ejen perkapalan dan maklumat mengenai perkara itu hanya disampaikan secara lisan apabila pihak kami bertanya kepada imigresen,” katanya dalam kenyataan.

Proses pertukaran kru di pelabuhan merujuk kepada pertukaran anak kapal yang turun dari kapal dan digantikan dengan kru baharu bagi memastikan operasi kapal berjalan lancar.

“Proses ini amat penting bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan tenaga kerja maritim, selain memberi peluang kepada pelaut untuk berehat atau pulang ke negara asal selepas tamat kontrak.

“Setiap kru yang tiba atau meninggalkan sesebuah negara mesti menjalani pemeriksaan imigresen bagi tujuan pengesahan identiti, semakan dokumen sah serta pematuhan terhadap undang-undang keselamatan sempadan,” kata Jeyenderan yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri perkapalan.

“Jika prosedur imigresen terlalu rumit, ia boleh menyebabkan kelewatan operasi pelabuhan, menjejaskan jadual penghantaran, serta meningkatkan kos kepada pemilik kapal,” katanya yang mempunyai operasi di beberapa pelabuhan utama termasuk Pelabuhan Klang, Pasir Gudang, Melaka, Kuantan dan Bintulu.

Menurutnya, sebelum pandemik Covid-19, perkhidmatan imigresen di pelabuhan beroperasi seperti biasa pada hujung minggu dan cuti umum, namun amalan itu dihentikan selepas pandemik.

“Sebelum Covid-19, semuanya berjalan lancar. Namun sekarang imigresen di lapangan terbang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, tetapi imigresen di pelabuhan pula ditutup pada hujung minggu dan cuti umum.

“Industri perkapalan harus diberi pengiktirafan serta keistimewaan yang setara dengan mereka dalam industri penerbangan,” katanya.

Beliau memaklumkan ejen perkapalan perlu memohon surat jaminan daripada Jabatan Imigresen satu hingga tiga hari sebelum kapal tiba di pelabuhan, namun semakan FMT mendapati tiada garis panduan rasmi berhubung perkara itu di portal rasmi pihak berkuasa berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.