
Puspakom berkata, bagi MVS, kadar caj bagi 50km pertama dinaikkan daripada RM100 kepada RM120, manakala bagi MTS daripada RM3,000 kepada RM3,300.
Bagaimanapun, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Mahmood Razak Bahman, fi pemeriksaan kenderaan tidak berubah.
“Pindaan kadar caj ini dibuat setelah kajian menyeluruh dijalankan bagi memastikan kelestarian Perkhidmatan Bergerak Puspakom dapat dikekalkan untuk manfaat pelanggan,” katanya, menurut kenyataan Puspakom.
Mahmood berkata, kadar baharu itu sejajar dengan peningkatan kos operasi semasa.
MTS menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kepada syarikat yang memiliki banyak kenderaan besar seperti operator kenderaan perdagangan, syarikat penghantaran barang, sekolah memandu dan pengedar kenderaan, manakala MVS menawarkan pemeriksaan untuk kenderaan persendirian, termasuk tukar hak milik kenderaan, cukai jalan tamat tempoh dan pendaftaran kenderaan import.
Kedua-dua perkhidmatan ini membolehkan pelanggan mendapatkan pemeriksaan kenderaan di lokasi pilihan mereka tanpa perlu hadir ke cawangan Puspakom.
Kali terakhir kadar caj perkhidmatan disemak adalah pada 2007, walaupun berlaku kenaikan dalam Indeks Harga Pengguna setiap tahun.