Nahas tol Kajang: Bayi maut tercampak tidak duduk di ‘child seat’

Nahas tol Kajang: Bayi maut tercampak tidak duduk di ‘child seat’

Menteri pengangkutan berkata, beliau tidak salahkan ibu bapa, sebaliknya tragedi ini peringatan penting untuk semua.

kemalangan tol
Dalam kejadian di Plaza Tol Bukit Kajang Sabtu lepas, seorang bayi lelaki maut manakala lapan individu lain cedera dalam nahas babit 4 kenderaan. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Hasil siasatan awal mendapati bayi berusia setahun yang maut dalam kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang pada hujung minggu lepas tidak diletakkan dalam kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) ketika kejadian.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, bayi itu tercampak keluar lalu tersepit di bawah kenderaan lain selepas lori muatan lusuh merempuh beberapa kenderaan di plaza tol itu.

“Bayangkan jika bayi tersebut berada dalam CRS, kemungkinan besar dia tidak tercampak keluar dan nyawanya masih boleh diselamatkan,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Terminal Bersepadu Gombak (TBG) yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam kejadian Sabtu lepas, seorang bayi lelaki maut manakala lapan individu lain cedera dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang.

Mangsa yang tersepit di bawah kenderaan berjaya dikeluarkan anggota bomba, namun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas kesihatan.

Loke hari ini berkata, beliau tidak menyalahkan ibu bapa, sebaliknya tragedi ini merupakan peringatan penting untuk semua.

Katanya, penggunaan CRS tidak boleh dipandang ringan kerana ia ciri keselamatan tambahan yang terbukti mampu melindungi nyawa penumpang kecil.

“Ramai yang mengeluh apabila kerajaan mewajibkan penggunaan ‘child seat’ kerana faktor kos. Insiden ini sekali lagi membuktikan bahawa mengabaikan child seat boleh membawa risiko besar kepada kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kementeriannya menyerahkan siasatan lanjut kepada pihak polis, termasuk pengesahan teknikal terhadap kerosakan brek lori terbabit.

Beliau menekankan bahawa penyelenggaraan kenderaan berat tidak boleh hanya bergantung kepada pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) setiap enam bulan.

“Lori terbabit mempunyai permit sah, rekod Puspakom masih ‘valid’, tetapi itu tidak bermakna pengendali boleh lepas tangan.

“Penyelenggaraan mesti dilakukan sepanjang masa. Dalam kes ini jelas brek lori gagal berfungsi sehingga merempuh plaza tol dan beberapa kenderaan lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.