
Dalam catatan di akaun platform itu, Zamri berkata beliau diwakili 13 peguam selain menyatakan penghargaan kepada bersolidariti demi kebenaran.
“Demi kebenaran kita lawan kerana saya diajar lawan tetap lawan,” katanya memetik slogan ‘lawan tetap lawan’ yang sohor dikaitkan dengan penyokong PKR dan pimpinannya.
Zamri kini direman dua hari sehingga esok bagi siasatan kes menghasut. Beliau juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Semalam, penceramah berkenaan ditahan susulan aduan mendakwanya menghasut dan mencemarkan agama Hindu.
Zamri mencetuskan kontroversi awal bulan ini selepas membuat kenyataan di Facebook bahawa penganut Hindu yang membawa kavadi seperti ‘orang kena rasuk sambil mabuk todi’.
Kenyataan itu dibuat susulan kontroversi sebelum itu melibatkan tiga penyampai Era FM, yang dikritik meluas kerana dikatakan mempersenda ritual kavadi. Hampir 900 laporan polis dibuat ke atas Zamri.
Pada 12 Mac, Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata polis menunggu arahan daripada Pejabat Peguam Negara selepas menghantar kertas siasatan melibatkan kes berkenaan.