
Dalam catatan di X, bekas perdana menteri itu berkata, umat Islam sebaliknya harus mendoakan agar Jamal cepat sembuh.
“Saya pula nak ambil kesempatan ini nak minta maaf kepada Jamal jika ada kesilapan dan kesalahan saya terhadapnya,” kata Mahathir.
Mahathir berkata, beliau ada membaca komen menggesa Jamal agar memohon maaf kepadanya atas ‘kata-kata yang tidak wajar dilemparkannya terhadap saya dahulu semasa sedang menentang Umno kerana kes 1MDB’.
Semalam, Berita Harian melaporkan bahawa kesihatan Jamal menjadi lebih teruk selepas kanser paru-parunya merebak ke otak.
Jamal sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Ampang sejak Sabtu.
Mahathir dan Jamal sebelum ini seteru politik yang sengit, dengan ketegangan memuncak semasa pentadbiran Najib Razak sebagai perdana menteri.
Jamal menjadi pembela tegar Umno dan pengkritik lantang Mahathir selepas beliau meninggalkan parti itu dan menubuhkan Bersatu sebelum PRU 2018.
Menerusi gerakan pro-Umno bergelar ‘Baju Merah’, Jamal menganjurkan protes jalanan terhadap Mahathir dan sekutunya, menuduh mereka mengkhianati kepentingan Melayu selepas bergabung dengan DAP.