Jangan politikkan hari lahir gabenor, KM Sabah tegur Warisan

Jangan politikkan hari lahir gabenor, KM Sabah tegur Warisan

Hajiji Noor berkata institusi ketua negara adalah polos politik dan tidak seharusnya diheret ke dalam ‘politik jalanan Warisan’.

hajiji
Hajiji Noor tuduh Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking dan Ketua Penerangan Azis Jamman membenarkan politik mengaburkan pertimbangan mereka.
PETALING JAYA:
Ketua Menteri Hajiji Noor menuduh Warisan mempolitikkan sambutan hari lahir rasmi gabenor Sabah, selepas ia disalah laporkan sebagai berlangsung selama tiga bulan.

Beliau berkata catatan media sosial yang dibuat oleh Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking dan Ketua Penerangan Azis Jamman adalah tidak perlu kerana institusi Istana Negeri adalah polos politik.

Hajiji mengulangi penjelasan bahawa sambutan rasmi ulang tahun Gabenor Musa Aman akan berlangsung selama sebulan, dan bukannya tiga seperti yang didakwa.

“Sebagai ketua menteri, saya bertanggungjawab untuk melindungi dan mempertahankan institusi Istana, tanpa mengira siapa gabenor,” kata Hajiji. Dia menuduh Darell dan Aziz membenarkan politik mengaburkan pertimbangan mereka, hingga “tidak dapat melihat perbezaan asas antara kerajaan, politik dan Istana”.

Hajiji berkata: “Institusi Istana adalah polos politik dan tidak boleh diseret ke dalam politik jalanan Warisan iaitu pembohongan dan penipuan.”

Ketua menteri berkata Musa pada mulanya mencetuskan idea untuk tidak mengadakan sebarang sambutan tahun ini memandangkan hari lahir rasmi diwartakan pada 30 Mac dan akan bertembung dengan sambutan Hari Raya.

“Bagaimanapun sebagai ketua menteri, saya merasakan apa sahaja keputusan yang perlu dibuat mesti dibincangkan di Jemaah Menteri negeri”, yang memutuskan bahawa sambutan akan diadakan pada Jun, dan “secara sederhana” selaras dengan kehendak Musa, kata Hajiji.

Hajiji menambah Darell dan Azis sepatutnya arif tentang sambutan hari jadi gabenor kerana Warisan membentuk kerajaan negeri pada masa lalu.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri Joachim Gunsalam berkata sambutan rasmi hari jadi gabenor Sabah hanya akan melibatkan tujuh acara rasmi yang diadakan pada Jun, kurang daripada 12 acara yang diadakan pada 2024, dengan bajet dikurangkan sebanyak 30%.

Joachim sebelum ini dipetik The Star sebagai berkata, beberapa siri acara akan diadakan dari 30 Mac hingga 21 Jun. Laporan itu mencetuskan kritikan daripada Darell dan Azis, yang mengatakan sambutan selama tiga bulan adalah pembaziran dana awam.

Joachim kemudian berkata empat daripada tujuh acara itu akan diadakan pada 21 Jun manakala bakinya akan diadakan sebelum itu dalam bulan yang sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.