
Majistret Siti Zubaidah Mahat menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Chung Chee Yang, 47, bersalah terhadap tiga pertuduhan pindaan.
Bagi pertuduhan pertama yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, tertuduh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan denda RM10,000.
Manakala bagi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan kata-kata dengan niat mahu melukakan perasaan agama seseorang, dia dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM10,000.
Bagi pertuduhan ketiga mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan, Chung menerima hukuman penjara 10 bulan dan denda RM2,000.
Siti Zubaidah turut memerintahkan Chung menjalani hukuman penjara tambahan 21 bulan jika gagal membayar denda.
Mahkamah turut menolak permohonan pembelaan bagi penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjaranya berturut-turut bermula hari ini.
Terdahulu, peguam mewakili tertuduh, Abdul Hakeem Aiman berhujah bahawa anak guamnya telah bekerjasama dengan pihak berkuasa dan menghadiri setiap prosiding.
Beliau juga memohon mahkamah mengambil kira sumbangan tertuduh kepada masyarakat yang telah membantu lebih 50 individu dengan menyediakan keperluan asas ketika pandemik Covid-19.
Timbalan Pendakwa Raya Nuruljannah Aimi bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman tegas memandangkan tertuduh tidak menunjukkan belas ihsan kepada pengawal peribadinya yang telah berkhidmat hampir sedekad.
Chung pada April 20221 mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan di Mahkamah Majistret Klang dan pertuduhan pertama dihadapinya ialah melakukan ugutan jenayah terhadap pengawal peribadi, Azminizam Zulkepli, 44, dengan mengacukan pistol dan mengugut untuk mencederakannya.
Mengikut pertuduhan kedua dan ketiga, Chung didakwa bersubahat dengan pembantunya Choo Hin Voon dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Azminizam dan seorang lagi mangsa, Ahmad Shamsuri Zailani, 27, menggunakan rotan.
Dalam pertuduhan keempat, Chung didakwa mengeluarkan kata-kata terhadap kedua-dua mangsa dengan niat mahu melukakan perasaan agama mereka mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan pertuduhan kelima, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Azminizam dan dakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Choo turut didakwa mengikut Seksyen 324, dengan dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap kedua-dua mangsa pada masa dan tempat yang sama.
Hakeem memberitahu FMT hari ini bahawa Choo mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan itu tahun lepas, yang membawa kepada pindaan pertuduhan oleh pendakwaan.