Lokasi majlis pecah tanah Masjid Madani tenang

Lokasi majlis pecah tanah Masjid Madani tenang

Kira-kira 100 petugas keselamatan termasuk polis dilihat membuat kawalan dan meronda di lokasi itu.

Anggota PDRM mengawal sekitar kuil Dewi Sri Pathrakaliamma
Anggota polis dilihat membuat kawalan keselamatan berhampiran tapak majlis perletakan batu asas pembinaan Masjid Madani di Jalan Masjid India yang dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim pagi ini.
KUALA LUMPUR:
Suasana di sekitar Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India tempat berlangsungnya majlis perletakan batu asas pembinaan Masjid Madani pagi ini kelihatan tenang dan tiada sebarang jalan ditutup.

Tinjauan FMT mendapati petugas keselamatan termasuk polis dilihat membuat kawalan dan meronda di lokasi sebelum majlis itu dirasmikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Difahamkan turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Seawal 8.30 pagi, kira-kira 100 anggota polis, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Jabatan Sukarelawan (Rela) berada di sekitar kuil berkenaan.

Semalam, perdana menteri berkata beliau akan menghadiri majlis pecah tanah Masjid Madani, yang akan dibina di tapak tempat kuil itu kini terletak.

Pelan memindahkan kuil untuk memberi laluan kepada pembinaan masjid mencetuskan pelbagai reaksi daripada orang ramai, termasuk peguam.

Jakel Trading Sdn Bhd memperoleh tanah itu pada 2012 dan lapan tahun kemudiannya mendapat kebenaran membina sebuah masjid, namun menangguhkan proses itu bagi ‘menghormati’ proses pemindahan kuil.

Kelmarin,Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mengumumkan kuil hindu itu yang dirancang ditempatkan semula untuk memberi laluan kepada pembinaan masjid, akan dipindahkan 50m dari lokasi semasanya.

Jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman telah bersetuju kuil itu dipindahkan ke lokasi baharu berkeluasan 4,000 kaki persegi, sepadan dengan saiz kuil.

Kuil itu akan terus beroperasi sehingga proses pemindahan bermula secara rasmi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.