
Ketua Polis Timur Laut, Abdul Rozak Muhammad, berkata hasil siasatan mengesahkan kejadian itu berlaku pada 10.50 malam, 23 Mac lalu di Jalan Masjid Negeri.
“Berdasarkan siasatan, kereta tersebut didaftarkan bawah nama seorang wanita warga tempatan berusia 32 tahun berasal dari Nilai, Negeri Sembilan dan pemandu kereta semasa kejadian itu merupakan suaminya.
“Lelaki berusia 36 tahun itu merupakan jurutera, mendakwa baru bekerja di negeri ini dan tidak mahir dengan arah jalan di Pulau Pinang lalu termasuk ke laluan melawan arus di Jalan Masjid Negeri secara tidak sengaja semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Rozak berkata, susulan kejadian tersebut, lelaki itu disaman bawah Peraturan 6(1) Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
Beliau turut menasihati pengguna jalan raya merancang perjalanan atau menggunakan aplikasi navigasi dalam talian semasa memandu bagi mengelakkan kesilapan di atas jalan raya sehingga boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna lain.
Terdahulu, tular video berdurasi 31 saat dirakam papan pemuka sebuah kenderaan, memaparkan tindakan seorang individu memandu kereta melawan arus di jalan yang dipenuhi kenderaan sehingga mengundang kritikan warganet.