
Mereka juga menyeru kerajaan menghentikan semua urusan dengan Boeing sehingga syarikat tersebut menghentikan bekalan senjata kepada Israel.
Kumpulan itu berkata perjanjian dengan Boeing bercanggah dengan sokongan kepada hak Palestin dan kutukan terhadap keganasan Israel. MAG adalah anak syarikat Khazanah Nasional Bhd.
“Malaysia tidak boleh mendakwa berdiri bersama Palestin sambil mengaut keuntungan daripada syarikat yang membekalkan senjata kepada penindas mereka,” katanya kumpulan tersebut, yang termasuk BDS Malaysia, dalam kenyataan bersama.
Sekretariat Solidariti Palestin, Palestine Centre of Excellence, Muslim Care Malaysia, dan Cakna Palestin turut menandatangani kenyataan tersebut.
Kumpulan itu berkata kepentingan ekonomi tidak boleh mengatasi hak asasi manusia, dan keputusan itu menggugat kredibiliti Malaysia di arena global.
“Dengan memilih berurus niaga dengan Boeing, Malaysia secara tidak langsung mensubsidi syarikat yang mengaut keuntungan daripada apartheid, pembunuhan beramai-ramai, dan jenayah perang,” katanya.
Katanya lagi, Majlis Hak Asasi Manusia PBB dalam kenyataan 20 Jun tahun lalu menamakan Boeing sebagai salah sebuah syarikat yang membekalkan senjata kepada Israel, sehingga memungkinkan kempen ketenteraan kejamnya.
MAG pada Jumaat mengumumkan pemerolehan 18 pesawat Boeing 737-8 dan 12 pesawat Boeing 737-10, dengan pilihan untuk 30 lagi pesawat. MAG mengendalikan Malaysia Airlines dan Firefly.
Menyusuli pengumuman tersebut, Boeing Global mengumumkan ia akan meningkatkan tenaga kerjanya di Malaysia sebanyak 20% dalam tempoh dua tahun akan datang.
Syarikat itu menggaji lebih 1,000 rakyat Malaysia di kilang pembuatannya di Kedah.