Isu pindah kuil selesai ikut toleransi, teratur, kata PM

Isu pindah kuil selesai ikut toleransi, teratur, kata PM

Anwar Ibrahim berkata beliau mengarahkan Jemaah Menteri runding secara baik selesai isu pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman bagi bina Masjid Madani.

Anwar Ibrahim merasmikan majlis pecah tanah Masjid Madani di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan isu pemindahan tapak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman untuk membina Masjid Madani di sini dibuat secara teratur dan penuh toleransi.

Anwar berkata beliau sendiri telah mengarahkan Jemaah Menteri, Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya berunding dengan baik sebelum keputusan muktamad dibuat.

“Mencari penyelesaian baik itu bukan tanda kelemahan seperti disanggah sebahagian kelompok tertentu.

“Penyelesaian secara aman, beradab dan berakhlak itu bukan sahaja kepada umat Islam tetapi masyarakat pelbagai kaum dan agama,” katanya pada majlis pecah tanah Masjid Madani.

Pelan memindahkan kuil untuk memberi laluan kepada pembinaan masjid mencetuskan pelbagai reaksi daripada orang ramai, termasuk peguam.

Jakel Trading Sdn Bhd memperoleh tanah itu pada 2012 dan lapan tahun kemudiannya mendapat kebenaran membina sebuah masjid, namun menangguhkan proses itu bagi ‘menghormati’ proses pemindahan kuil.

Kelmarin, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mengumumkan kuil hindu itu yang dirancang ditempatkan semula untuk memberi laluan kepada pembinaan masjid, akan dipindahkan 50m dari lokasi semasanya.

Jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman telah bersetuju kuil itu dipindahkan ke lokasi baharu berkeluasan 4,000 kaki persegi, sepadan dengan saiz kuil.

Anwar Ibrahim berkata isu pemindahan tapak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman untuk membina Masjid Madani di sini dibuat secara teratur dan penuh toleransi.

Anwar berkata penyelesaian itu bukan mahu menunjukkan kemenangan serta keangkuhan pihak tertentu sebaliknya menunjukkan kebijaksanaan, kekuatan dan kemuliaan Islam.

Beliau turut berterima kasih kepada pihak terlibat dalam menyelesaikan pemindahan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.

“Penghargaan saya juga ditujukan kepada mereka yang telah membantu memberikan penjelasan, termasuk beberapa rakan saya yang bukan beragama Islam, Gobind (Singh Deo) dan R Ramanan yang membantu menjelaskan keadaan.

“Jika semua orang mahu jadi hero kaum mereka sendiri, rosak negara ini. Nak jadi pemimpin Malaysia tapu bercakap bagi pihak dan pertahankan sentimen benci kaum,” tegasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.