Guna pendekatan kurang konfrontasi dalam rundingan O&G, Putrajaya, Sarawak diberitahu

Guna pendekatan kurang konfrontasi dalam rundingan O&G, Putrajaya, Sarawak diberitahu

Penganalisis berkata autonomi Sarawak beri manfaat kepada Malaysia tetapi ia perlu pastikan tidak dilihat 'terlalu konfrontasi'.

Penganalisis James Chin berkata pelantikan Petros sebagai agregator gas tunggal di Sarawak adalah kejayaan besar negeri itu yang sebelum ini berusaha meluaskan autonominya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penganalisis menggesa pendekatan kurang konfrontasi dalam menyelesaikan pertikaian antara Petronas-Petros, menyatakan ia akan membaiki hubungan Putrajaya dan Sarawak serta menjaga kepentingan jangka panjang negeri.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata, jika perjanjian berjaya dicapai, ia akan membuatkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) lebih menerima kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

James Chin
James Chin.

Katanya, Sarawak tidak dapat memperjuangkan hak minyak dan gas ketika zaman Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri kerana negeri itu tidak diberikan peluang menangani isu tersebut.

“Ia akan menjadi lebih baik untuk Anwar jika beliau dapat menyelesaikan perkara ini,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Chin mengakui rundingan mungkin boleh menjadi rumit.

“Minyak dan gas adalah perkara yang rumit, dan ia melibatkan pengiraan sangat teknikal.

“Apabila kerajaan persekutuan dan Sarawak menyelesaikan perbincangan pada awal tahun ini, perjanjian yang dicapai hanya di peringkat tinggi tanpa menyentuh butiran secara mendalam,” katanya.

Penganalisis lain memberi peringatan kepada kerajaan persekutuan supaya tidak terlalu banyak berkompromi dengan negeri Borneo, kerana bimbang tindak balas negatif jika ia tidak dikendalikan dengan baik.

Mereka berpendapat, pendekatan lebih damai dalam rundingan akan mewujudkan model perkongsian sumber yang lebih stabil.

Asrul Hadi Abdullah Sani dari firma penasihat strategik ADA Southeast Asia berkata, kedudukan politik di Dewan Rakyat memberi kelebihan kepada Sarawak dalam rundingan itu.

Asrul Hadi
Asrul Hadi Abdullah Sani.

“Selagi Sarawak memiliki jumlah kerusi yang signifikan di Parlimen, kerajaan persekutuan akan sentiasa mencari kompromi bagi memastikan kestabilan politik.

“Inilah masa terbaik bagi Sarawak memperjuangkan tuntutan lain,” katanya kepada FMT, merujuk usaha negeri itu mendapatkan lebih banyak kawalan ke atas alam sekitar dan dasar lain bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Namun, Asrul memberi amaran Sarawak perlu mengambil pendekatan seimbang dalam hubungannya dengan kerajaan persekutuan.

“Jika Sarawak terus dilihat terlalu konfrontasi, ia boleh membawa kepada perubahan dasar pada masa depan serta penolakan politik,” katanya.

Wong Chin Huat
Wong Chin Huat.

Wong Chin Huat dari Universiti Sunway sebelum ini memberitahu The Edge, meskipun penting memperkasakan negeri Malaysia Timur, sebarang kompromi dengan mudah boleh dituduh sebagai ‘menjual kepentingan Melayu-Islam’.

Awal bulan ini, FMT melaporkan rundingan antara Petronas dan Petros menemui jalan buntu selepas syarikat minyak milik Sarawak itu menegaskan mahu menjadi ‘orang tengah’ dalam kontrak sedia ada Petronas, bercanggah dengan pengumuman Anwar di Parlimen pada 17 Feb lalu.

Perjanjian ‘eksklusif’ Sarawak

Pelantikan Petros dilihat sebagai kejayaan besar bagi Sarawak, yang sejak sekian lama bersuara bagi mendapatkan semula autonominya dalam pelbagai bidang dasar, termasuk minyak dan gas.

“Pelantikan Petros dan kejayaan rundingan menjadi satu kemenangan besar untuk Abang Jo (Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg) kerana beliau berjanji untuk mendapatkan kembali hak Sarawak dalam MA63.

“Beliau sering menyatakan bahawa minyak dan gas adalah sebahagian hak itu, jadi jika beliau dapat membuat kerajaan persekutuan mengiktiraf pemilikan tidak langsung Sarawak ke atas sumber gas, ia sesuatu yang besar,” kata Chin.

Chin berkata, mendapat semula hak pemilikan akan membawa pulangan berbilion ringgit kepada negeri itu.

Katanya, antara ‘markah tambahan’ dalam penyelesaian Petronas-Petros adalah Sarawak berjaya dalam bidang yang negeri lain kemungkinan gagal melakukannya.

“Terengganu dan Kelantan tidak akan mendapat perjanjian yang sama.”

“Masalah dalam perjanjian semasa (Sarawak) ialah LNG (gas asli cecair) yang sangat menguntungkan masih bawah kawalan Petronas. Perjanjian semasa hanya melibatkan pengagihan gas domestik.

“Jika Sarawak berjaya, perjanjian jenis ini mungkin boleh dilaksanakan di Sabah, tetapi Sabah tidak mempunyai sumber gas sebanyak itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.