
Kenyataan itu menyusul selepas Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin mengingatkannya supaya tidak memasang cita-cita mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi DUN Tanjung Keramat pada PRN.
“Saya mengambil maklum dan ucapkan terima kasih atas kenyataan Bung. Saya akan buat keputusan yang sesuai bila tiba masanya kelak.
“Keputusan mewakili BN sebagai calon hanya akan ditentukan oleh pengerusi BN pusat, bukan kuasa saya. Keputusan yang saya akan buat adalah berkenaan hala tuju politik saya sendiri, kelak,” kata Shahelmey kepada FMT.
Semalam, Bung memberi peringatan itu bagi menjawab kenyataan Shahelmey berhubung pengumuman Ketua Umno Putatan Jeffrey Nor Mohamed sebagai calon BN di kawasan terbabit.
Pengumuman itu dibuat Bung pada Oktober tahun lalu.
Bung turut menyatakan Umno sedia berdepan Shahelmey yang membayangkan kemahuannya mempertahankan kerusi Tanjung Keramat, dimenanginya atas tiket BN pada PRN lima tahun lalu.
“Kalau dia bertanding parti lain, silakan. Umno bersedia berdepan dengannya bila-bila masa,” kata Bung.
Shahelmey yang menang Parlimen Putatan bawah tiket BN pada PRU15 digantung selepas tidak bersetuju dengan keputusan Umno Sabah menarik diri daripada kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor, pada Januari 2023.
Pada Mac 2023, Bung mengumumkan keahlian Shahelmey digantung, difahamkan kerana tindakannya tidak senada dengan pendirian Umno Sabah dalam episod ‘Langkah Kinabalu’.
Shahelmey mengekalkan sokongannya kepada Hajiji selepas Bung mengumumkan BN Sabah menarik balik sokongan pada 7 Jan tahun sama.