Pembelian pesawat Boeing ikut prosedur, terma ditetapkan

Pembelian pesawat Boeing ikut prosedur, terma ditetapkan

Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim nafi dakwaan pembangkang kononnya pembeliannya ada kepentingan tertentu.

anwar ibrahim
Gerakan sebelum ini mendakwa pembelian 30 pesawat buatan AS itu berkemungkinan sebagai pertukaran bagi membolehkan Anwar Ibrahim bertemu Donald Trump. (Gambar Facebook)
PADANG RENGAS:
Pembelian pesawat baharu Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) dilaksanakan mengikut prosedur serta terma ditetapkan, kata Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim.

Beliau menafikan dakwaan pihak pembangkang kononnya pembelian pesawat berkenaan mempunyai kepentingan tertentu.

Kamil berkata pembelian pesawat itu tidak seharusnya dipersoalkan pembangkang memandangkan dilakukan mengikut pendekatan sedia ada yang telah diamalkan sejak kerajaan terdahulu.

“Proses pembelian kapal terbang ini memakan masa selain perlu diselaras mengikut harga dan sebagainya. Cuma, baru-baru ini ia dipersetujui oleh semua pihak.

“Sebelum ini pun memang dasar dan pendekatan kita menggunakan pesawat Boeing ini. Jadi, apa masalahnya dan tidak timbul isu pembelian pesawat ini ada kepentingan tertentu termasuk untuk (Perdana Menteri) jumpa Presiden Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Pada 22 Mac lepas, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz menjelaskan pembelian pesawat itu adalah pelaburan untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri penerbangan global.

Tengku Zafrul berkata langkah itu turut menyokong operasi Boeing Composites Malaysia (BCM), yang menghasilkan struktur pesawat Boeing di Malaysia dan mempunyai kira-kira 1,000 pekerja rakyat tempatan setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.