
Sebelum ini, bantuan menerusi inisiatif untuk membeli barangan keperluan asas seperti makanan itu disalurkan dua kali setahun iaitu menerusi pemberian wang tunai.
Bercakap kepada FMT, Singar Salam ,63, dari Limbang inisiatif itu bukan hanya memudahkannya kerana tidak perlu mengeluarkan wang tunai di bank tetapi membantu merancang perbelanjaan tetap barangan keperluan.
“Memang mudah dan cepat tebus barang guna MyKad.

“Bantuan ini memang melegakan kami dalam menyediakan barangan keperluan asas,” kata peniaga durian dan sayur kampung itu.
Selain Sara, kerajaan turut memberikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang kedua-duanya membabitkan peruntukan RM13 bilion menerusi Belanjawan 2025 untuk membantu meringankan beban golongan dari pelbagai kategori.
Sebelum ini, penganalisis ekonomi Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpandangan langkah mitigasi seperti meningkatkan bantuan tunai itu dapat mengurangkan kesan penyasaran subsidi petrol RON95 yang dijangka dilaksana berperingkat.
Bantuan Sara ditingkatkan RM2,100 tahun ini iaitu RM100 dari Januari hingga Mac manakala mulai April depan sehingga RM200 sebulan.
Dayang Fadilah Awang Kadir, 30, dari Papar pula berkata penggunaan MyKad untuk menebus barang keperluan memudahkan penduduk luar bandar.
“Tak perlu bersusah payah macam sebelum ini, sekarang hanya bawa MyKad dan sudah boleh beli barang” kata suri rumah itu.
Seorang lagi penerima Sara dari Limbang, Elizabeth Lunek, 37, pula berharap lebih banyak kedai runcit dipilih untuk menjayakan inisiatif kerajaan itu.
“Kalau banyak kedai mudah dan bila-bila masa sahaja boleh tebus barang,” katanya sambil berterima kasih kepada kerajaan kerana menaikkan jumlah bantuan kepada RM200 sebulan mulai April.