Kempen ‘undi di Selangor’ PAS tak akan berjaya, kata penganalisis

Kempen ‘undi di Selangor’ PAS tak akan berjaya, kata penganalisis

Mereka beranggapan inisiatif itu tidak mampu berjaya, sekalipun mendapat sambutan.

pas
PAS memegang 10 daripada 56 kerusi DUN di Selangor. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua penganalisis politik menyifatkan kempen PAS supaya pengundi Kelantan, Terengganu dan Kedah yang berada di Selangor membantu parti itu mengambil alih negeri berkenaan, sebagai sia-sia.

Menurut mereka, sekalipun mendapat sambutan, inisiatif itu tidak dilihat mampu berjaya.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, parti itu nampak yakin dengan kemampuannya mengekalkan pegangan di tiga negeri berkenaan, walaupun tanpa sokongan pengundi yang berada di negeri lain.

azmi hassan
Azmi Hassan.

Beliau mengakui Perikatan Nasional (PN) mungkin mampu merampas Selangor daripada pegangan kerajaan perpaduan ketika PRN 2023 lalu, sekiranya mendapat lebih banyak sokongan di kerusi-kerusi di mana gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) menang dengan majoriti kurang 5,000 undi.

Antaranya termasuk di Taman Templer (majoriti 467 undi), Sungai Air Tawar (846), Sungai Pelek (1,458), Meru (3,422), dan Sekinchan (4,018).

Kerajaan PH-BN kini memegang 35 daripada 56 kerusi DUN Selangor, manakala PN pula baki 21 kerusi dengan 10 daripadanya milik PAS.

PN sebenarnya mampu menang dengan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri sekiranya ketika itu berjaya memenangi lapan kerusi tambahan.

“PAS melihat Selangor sebagai peluang terbaiknya, berbanding Pahang atau Perak. Itulah sebabnya parti itu melancarkan kempen seperti ini,” kata Azmi kepada FMT.

Bagaimanapun, katanya, satu kepincangan dalam perancangan PAS adalah, pengundi dari Kelantan, Terengganu dan Kedah yang kini bermastautin di Selangor berkemungkinan besar tinggal dan bekerja di kawasan bandar iaitu di mana kedudukan PH kekal kukuh.

Sebaliknya, kebanyakan kerusi dimenangi PH dan BH dengan majoriti tipis dalam PRN lalu, adalah di kawasan pengundi Melayu di utara Selangor atau kawasan pinggir bandar.

Azmi percaya kebanyakan pengundi akan tetap pulang ke negeri masing-masing untuk mengundi.

“Mereka amat parokial dalam isu seperti ini, jadi saya tidak rasa strategi ini akan berjaya. Namun PH wajar mengambil maklum mengenai kempen itu dan memerhatikan sebarang perubahan tempat mengundi pengundi,” katanya.

Minggu lalu, Pesuruhjaya PAS Selangor Ab Halim Tamuri dilaporkan menggesa pengundi PAS dari Kelantan, Terengganu dan Kedah yang bermastautin di Selangor supaya mengambil langkah sewajarnya bagi mengundi di negeri itu.

Adun Paya Jaras itu berkata ini akan membantu PN menawan Selangor daripada PH dalam PRN akan datang.

PAS Selangor turut menaikkan beberapa hantaran di laman Facebooknya bagi menggariskan prosedur terlibat.

Mazlan Ali.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia juga senada menjangka kempen ini tidak berjaya, dan beranggapan hanya penyokong tegar PAS akan menukar tempat mengundi mereka.

“Ada kemungkinan segelintir mematuhi arahan pemimpin mereka itu, tetapi tidak semua orang dari negeri berkenaan akan berbuat demikian. Ramai daripadanya tetap akan pulang mengundi di kampung halaman masing-masing,” katanya.

Mazlan berkata, ini disebabkan ikatan sentimental dengan kampung halaman, tradisi pulang untuk mengundi, selain proses birokrasi yang perlu dilalui untuk mengubah tempat mengundi mengundi.

“Mereka yang berasal dari pantai timur selalunya mempunyai pertalian kuat dengan kampung halaman. Mereka cintakan kampung halaman dan mahu terus mengundi di sana,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.