Bekas calon PN didakwa guna gelaran ‘Datuk’ palsu

Bekas calon PN didakwa guna gelaran ‘Datuk’ palsu

Ong Chuan Jin yang tanding kerusi DUN di Pulau Pinang pada 2023 didakwa pamer gelaran darjah Pahang pada kad nama.

Butterworth
Ong Chuan Jin berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda RM500,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
PETALING JAYA:
Bekas calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding dalam PRN 2023 di Pulau Pinang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan menggunakan gelaran ‘Datuk’ palsu.

Ong Chuan Jin, 63, yang bertanding kerusi DUN Bagan Jermal, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Azah Kasran, lapor Utusan Malaysia.

Mengikut tuduhan, Ong didakwa mempamerkan gelaran darjah kebesaran Pahang di kad namanya sedangkan tiada sebarang darjah kebesaran dan pingat dianugerahkan terhadapnya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Raja Uda, Butterworth kira-kira pukul 1 petang pada Mei 2022.

Ong didakwa mengikut Seksyen 3 (1)(d) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 3(3) enakmen sama yang memperuntukan hukuman maksimum iaitu penjara hingga lima tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin menawarkan jaminan sebanyak RM30,000. Namun, peguam tertuduh, Ong Chin Wen merayu agar jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak bekerja.

“Anak guam saya hanya aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan membantu golongan memerlukan malah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 April sebagai tarikh sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.