
Bercakap pada majlis berbuka puasa bersama peneroka Felda, Anwar berkata kerajaan menyuntik hampir RM1 bilion setiap tahun kepada Felda, justeru memerlukan “transformasi besar”.
Menegaskan kejayaan Felda berkait langsung dengan kemakmuran ekonomi Malaysia, Anwar berkata ia menjadikan badan berkanun tersebut lebih penting untuk menerima campur tangan “segera dan strategik”.
“Saya beri tempoh satu bulan untuk pengurusan kemukakan,” katanya.
“Supaya dalam masa singkat, kita beri keyakinan ratusan ribu peneroka kita sekarang sudah sampai tahap lonjakan itu amat perlu.”
Anwar juga menyeru kecekapan dalam pelaksanaan hala tuju baharu, turut menyatakan transformasi Felda mesti
memberikan manfaat ketara dalam masa sesegera mungkin.
Katanya, keseluruhan jentera kerajaan, termasuk sektor kewangan mesti bekerjasama demi memastikan keampuhan hala tuju baharu Felda.
Anwar juga memberi jaminan kepada peneroka Felda bahawa kerajaan akan menggerakkan segala sumber tersedia untuk mengukuhkan badan berkanun itu, koperasi, dan anak syarikat – seperti FGV Holdings Bhd (FGV).
“Kita kerahkan untuk kita pastikan Felda, di landasan ampuh bersama koperasinya bersama FGVnya, satu haluan dengan satu matlamat,” katanya.
Anwar menekankan penjajaran tersebut akan memainkan peranan penting mengangkat martabat Felda dan menjamin masa depan lebih baik peneroka.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2022 yang dikeluarkan Mac lalu, Felda merekodkan kerugian RM1 bilion pada 2022, hampir dua kali ganda daripada kerugian RM545 juta direkodkan tahun sebelumnya.
Dalam laporan itu, ketua audit negara berkata Felda juga berhutang RM8.66 bilion kepada institusi luar setakat 2022, sedikit penurunan berbanding RM8.8 bilion tahun sebelumnya.
Felda dinasihatkan melakar hala tuju jelas ke arah pengoperasian tanpa bantuan kewangan lanjut dari Putrajaya.
Ketua audit negara berkata, Felda “sangat bergantung kepada bantuan kewangan daripada kerajaan persekutuan”, menerima geran RM200 juta pada 2022, berbanding RM342 juta pada 2021.
Felda ditubuhkan pada 1956 dengan sasaran membasmi kemiskinan menerusi penanaman kelapa sawit dan getah.