Polis tahan lelaki disyaki muat naik hantaran hina Islam

Polis tahan lelaki disyaki muat naik hantaran hina Islam

Lelaki berusia 57 tahun itu ditahan oleh USJT Bukit Aman di Johor Bahru hari ini.

razarudin husain
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, kes disiasat bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
KUALA LUMPUR:
Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun kerana disyaki memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap agama Islam di Facebook baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, lelaki itu ditahan sepasukan polis Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di sebuah rumah di Taman Johor Jaya, Johor Bahru pada 2.30 petang hari ini.

Polis turut merampas sebuah telefon bimbit disyaki digunakan untuk memuat naik hantaran itu.

“Kes disiasat bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Pada Jumaat lepas, Razarudin berkata, polis menyiasat seorang pemilik akaun Facebook disyaki mengeluarkan kenyataan menghina Islam, susulan laporan polis diterima di Balai Polis Jalan Tun Razak.

Terdahulu, tular hantaran di media sosial didakwa mengandungi kenyataan kontroversi mencabar askar dan umat Islam di Malaysia ke Gaza, selain menyindir kecaman diberikan terhadap Israel sebagai tidak bermakna.

Kenyataan itu menimbulkan reaksi pelbagai pihak kerana dianggap menyentuh sensitiviti agama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.