
Bercakap kepada FMT, Fuziah berkata tindakan itu akan diusulkan kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk pengesahan.
Katanya, pada 1 Mac lalu pihaknya meminta PKR Wangsa Maju mengadakan mesyuarat agung tahunan khas untuk dibentangkan semula penyata kewangan 2024 yang tidak disahkan pejabat setiausaha agung.
Mesyuarat itu berlangsung semalam.
“Tetapi, isunya masih tidak menepati syarat perlembagaan parti, maka dengan itu mesyuarat agung tahunan khas tidak dapat disahkan dan bahagian itu dicadang untuk digantung,” katanya kepada FMT.
Semalam, mesyuarat agung khas PKR Wangsa Maju bagi meluluskan pembentangan semula penyata kewangan 2024 kecoh selepas didakwa dilakukan secara tidak teratur.
Beberapa ahli tidak berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat susulan tiada penjelasan berhubung dakwaan pemalsuan dalam pembentangan penyata kewangan diluluskan pada 1 Mac lalu.
Susulan itu, Bendahari PKR Wangsa Maju Chook Kin Heng meminta pimpinan menyiasat dakwaan kontroversi pemalsuan dalam pembentangan penyata kewangan 2024 yang dinafikan Ketuanya Lai Chen Heng, Sabtu lalu.
Bercakap kepada FMT, Chook berkata beliau tidak pernah menandatangani pengesahan penyata kewangan dibentangkan dalam mesyuarat agung pada 1 Mac lalu, sambil mendakwanya telah disalin semula serta ditampal pada dokumen terbabit.
Beliau membuat laporan polis dan aduan kepada parti supaya kontroversi itu disiasat bagi mengelakkan nama baik PKR tercemar.
Sementara itu, Fuziah berkata PKR mempunyai perlembagaan dan garis panduan berhubung pengendalian bahagian dan mesyuarat agung tahunan khas.
“Tindakan setiausaha agung berdasarkan kewajaran untuk setiap mesyuarat dan mesyuarat agung tahunan khas berdasarkan garis panduan dan tatakelola, sama ada…ada aduan atau dakwaan atau tidak,” katanya.