
Komander Briged Tenggara PGA, Nik Ros Azhan Ab Rahman berkata dalam serbuan Op Bersepadu Khazanah itu pihaknya merampas lebih 500 batang balak dan kayu yang telah dipotong.
Katanya, suspek berumur 28 hingga 52 tahun ditahan ketika leka mengumpul hasil hutan yang telah diproses dan gagal mengemukakan permit atau lesen sah daripada Jabatan Perhutanan.
“Semua suspek dipercayai berperanan sebagai penghantar hasil hutan haram untuk dijual ke pasaran tempatan.
“Mereka disiasat mengikut Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985. Turut dirampas dalam operasi itu adalah pelbagai mesin jentera memproses kayu,” katanya dalam kenyataan lapor Bernama.
Nik Ros Azhan berkata susulan kes itu PGA menyerbu kilang kayu di Kampung Lela Jasa, Kuala Krai dipercayai memproses balak secara haram dan merampas peralatan dan mesin.
“Semua mesin dan jentera memproses kayu seperti mesin Bound Saw, Cross Cut, mesin ketam kayu Tokiwa dan lain-lain dirampas.
“Seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun dipercayai penjaga kilang turut ditahan bagi membantu siasatan. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM500,000,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985, manakala suspek serta barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Kota Bharu untuk tindakan lanjut.