Kurang sokongan Putrajaya punca ekonomi SG4 perlahan, kata PN

Kurang sokongan Putrajaya punca ekonomi SG4 perlahan, kata PN

Ketua Pemuda PN Afnan Hamimi Taib Azamudden gesa Putrajaya permudah kelulusan dan sokong kemasukan pelabur ke SG4.

Ketua Pemuda PN Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata pertumbuhan ekonomi di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis menunjukkan peningkatan setiap tahun.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Perikatan Nasional (PN) menolak dakwaan empat negeri ditadbir gabungan pembangkang tidak menunjukkan perubahan signifikan dari segi ekonomi dan pembangunan.

Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata pertumbuhan ekonomi Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis menunjukkan peningkatan setiap tahun walaupun kurang mendapat sokongan Putrajaya yang merumitkan keadaan termasuk hal berkaitan kemasukan pelabur.

“Jadi tak benar negeri ditadbir pembangkang atau dikenali sebagai SG4 (State Government 4) ini tidak menunjukkan sebarang perubahan dari segi ekonomi dan pembangunan.

“Saya minta pusat permudah segala urusan negeri pembangkang termasuk memudahkan proses pelaburan masuk serta hal berkaitan yang memerlukan kelulusan dan sokongan pusat,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen Alor Setar itu juga berkata, rekod PN mentadbir Putrajaya selama 33 bulan sebelum ini termasuk menangani isu berkaitan kos sara hidup rakyat menunjukkan gabungan tersebut mampu mentadbir dengan baik.

“Ini terbukti selama 33 bulan PN di Putrajaya dan pada masa itu kos sara hidup rakyat tidak seteruk hari ini dengan pelbagai inisiatif bantuan disalurkan dalam usaha meringankan beban rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, dilaporkan berkata PN perlu menunjukkan kemampuan menguruskan ekonomi dan membangunkan empat negeri ditadbir mereka untuk dijadikan contoh bahawa gabungan itu layak mentadbir Putrajaya termasuk menyelesaikan isu kos sara hidup rakyat.

Katanya, ketika ini Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang ditadbir pembangkang tidak menunjukkan sebarang perubahan signifikan dari segi ekonomi dan pembangunan.

Menteri sumber asli dan kelestarian alam itu mengulas kenyataan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang melaungkan keyakinan gabungan tersebut mampu menerajui negara lebih baik untuk membetulkan isu asas rakyat berbanding kerajaan perpaduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.