
Ketua Pengarah DBP Hazami Jahari berkata, teguran juga dimaksudkan buat penganjur dan pihak pengurusan menggunakan bahasa Inggeris dalam acara rasmi kerajaan yang dihadiri oleh rakyat Malaysia.
“Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan kedudukan bahasa Melayu bagi urusan rasmi di jabatan kerajaan, bertepatan dengan peruntukan yang termaktub dalam Perkara 152(6).
“Orang yang tidak mendaulatkan dan menggunakan bahasa Melayu dalam urusan kerajaan adalah orang yang tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan bahasa Inggeris jelas dan rancak dipopularkan untuk paparan umum seperti nama program ‘Back to School’ dan ‘KL Car-Free Morning’, sedangkan sudah tentu majoriti pesertanya terdiri daripada rakyat Malaysia.
Hazami turut mempersoalkan tindakan penganjur program yang menggunakan sepenuhnya bahasa Inggeris, hanya kerana terdapat dua atau tiga orang peserta asing.
“Kalau kita pergi ke China, Perancis, Jerman misalnya, mereka akan gunakan bahasa kebangsaan mereka, bahasa ibunda mereka. Kita yang perlu cari penterjemah kalau ingin faham apa yang mereka cakapkan.
“Negara maju lebih menghormati bahasa mereka. Sekiranya kita ingin menjadi sebuah negara yang maju, hormatilah bahasa kebangsaan kita sendiri,” katanya.
Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menegaskan peranan bahasa kebangsaan perlu digunakan dalam urusan rasmi, manakala Akta Pendidikan 1996 memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan.