Ismail ucap ‘Selamat Hari Raya’ usai disoal SPRM 5 jam

Ismail ucap ‘Selamat Hari Raya’ usai disoal SPRM 5 jam

Bekas perdana menteri menyapa media ketika meninggalkan pekarangan ibu pejabat SPRM pada 3.04 petang.

ismail sabri
Ismail Sabri Yaakob tiba di ibu pejabat SPRM pada 9.54 pagi dan dilihat beredar pada 3.04 petang.
PUTRAJAYA:
Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob meninggalkan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas sesi ketujuh disoal siasat.

Beliau dilihat meninggalkan pekarangan bangunan itu menaiki Toyota Vellfire pada 3.04 petang, menurunkan cermin sambil menyapa petugas media dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya’.

Sumber memberitahu FMT, Ahli Parlimen Bera itu akan dipanggil semula namun belum ada tetapan tarikh.

Beliau tiba di SPRM pada 9.54 pagi, disiasat berkait kes rasuah melibatkan empat bekas pegawai kanannya.

Ismail membuat pengisytiharan harta kepada SPRM pada 10 Feb, dan mula disoal siasat pada 19 Feb.

Beliau juga dipanggil untuk sesi soal siasat pada 13, 14, 17, 19, dan 20 Mac dengan setiap sesi berlangsung sekitar enam jam.

Ismail, pengsan di kediamannya pada 22 Feb dan dimasukkan ke hospital kerana masalah berkait tekanan darah tinggi, tidak hadir dua sesi bersama SPRM, masing-masing pada 5 dan 7 Mac. Beliau ada mengemukakan sijil sakit.

SPRM sedang menyiasat penemuan wang tunai hampir RM170 juta dan 16kg jongkong emas bernilai jutaan ringgit dalam serbuan di kediaman empat pegawai tersebut dan tiga premis lain yang disyaki menjadi ‘safe house’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.