
Bercakap kepada FMT, Chook berkata beliau tidak pernah menandatangani pengesahan penyata kewangan dibentangkan dalam mesyuarat agung pada 1 Mac lalu, sambil mendakwanya telah disalin semula serta ditampal pada dokumen terbabit.
Menurutnya, beliau membuat laporan polis dan aduan kepada parti supaya kontroversi itu disiasat bagi mengelakkan nama baik PKR tercemar.
“Saya buat laporan supaya kejadian disiasat, jika tiada salah laku mengapa saya berbuat demikian,” katanya memberitahu aduan kepada Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh pada 12 Mac lalu.
Chook turut menafikan bahawa tiada aduan atau bantahan dibuat berhubung kontroversi terbabit ketika mesyuarat agung PKR Wangsa Maju seperti didakwa Lai.
“Dalam mesyuarat itu Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan sendiri membangkitkan dua bantahan terhadap penyata kewangan dibentangkan, didapati akaun bank tidak aktif dan sukar rekod transaksi.
“Jumlah akhir perbelanjaan iaitu RM55,150 juga tidak sepadan dengan RM52,150 mengikut senarai terperinci…ada perbezaan sekitar RM3,000.”
Sabtu lalu, Lai menafikan dakwaan wujud pemalsuan dalam pembentangan penyata kewangan 2024 yang mungkin menyebabkan bahagian itu digantung dan tidak boleh mengadakan pemilihan bulan depan.
Beliau mendakwa, tiada sebarang bantahan dibuat mengenai laporan kewangan itu semasa mesyuarat agung tahunan bahagian pada 1 Mac lalu.
Fuziah ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan itu dan akan menelitinya untuk tindakan lanjut.
Pemilihan jawatan ketua PKR Wangsa Maju menyaksikan pertembungan antara penyandang Lai dicabar Zahir dan Abdullah Talip daripada Otai Reformis 1998.