Peranan Norza berubah di RTG, lindungi daripada ketidakstabilan politik

Peranan Norza berubah di RTG, lindungi daripada ketidakstabilan politik

Jika berlaku ketiadaan menteri kerana isu politik, Norza Zakaria selaku timbalan pengerusi akan ketuai program Road to Gold.

hannah yeoh n norza zakaria
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, berkata Norza Zakaria akan mengetuai RTG jika berlaku ketidakstabilan politik.
BANGI:
Keputusan penyenaraian Norza Zakaria selaku timbalan pengerusi Road to Gold (RTG), bertujuan melindungi program tersebut daripada sebarang ketidakstabilan politik.

Norza yang juga presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, sebelum ini merupakan pengerusi Bersama RTG, sejak program itu diperkenal pada awal 2023.

Namun, menerusi kenyataan dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan, menyaksikan Hannah bergelar pengerusi dan dibantu Norza selaku timbalan pengerusi.

“Seperti yang saya jawab di Parlimen, ini bagi memastikan tiada gangguan kepada program RTG sekiranya timbul isu politik.

“Sekiranya berlaku ketiadaan menteri kerana isu politik, timbalan pengerusi akan mengetuai dan memastikan mesyuarat RTG berjalan tanpa gangguan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Aspirasi Rakan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).

Terdahulu, kementerian turut mengumumkan bekas ketua pegawai eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ramlan Abd Aziz dan bekas setiausaha agung Persatuan Renang Malaysia (MS) Mae Chen, sebagai ahli jawatankuasa program RTG bagi penggal 2025-2026.

Pelantikan dua tokoh terkenal dalam arena sukan tanah air itu mendapat kelulusan Lembaga Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), pada Khamis lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.