
Beberapa ahli tidak berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat itu susulan tiada penjelasan berhubung dakwaan pemalsuan dalam pembentangan penyata kewangan diluluskan 1 Mac lalu.
Mesyuarat berkenaan malah ditamatkan secara tergesa-gesa selepas 20 minit berlangsung.
“Kenapa pembentangan laporan kewangan tidak dibentang dengan baik? Mesyuarat hanya 20 minit sahaja, presiden kita selalu tekankan soal integriti dan ketelusan, tetapi isu ini berlaku di cabang kita, memang kami kecewa,” kata ahli PKR Lui Kim Yoke kepada FMT.
Sementara itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan pula kecewa apabila ahli tidak diberi penjelasan berkait dakwaan penggunaan tandatangan palsu.
Katanya, menurut perlembagaan parti, notis mesyuarat khas memerlukan tempoh 14 hari pemakluman, namun dipendekkan kepada tujuh hari sahaja.
“Kedua, kenapa laporan penyata dibentangkan hari ini ditandatangan setiausaha bukannya bendahari?” soalnya.
“Penjelasan itu penting sebab laporan media di luar mengatakan penyata kewangan dibentang 1 Mac tandatangannya ditiru dan ia satu jenayah besar, malah bendahari sendiri telah buat laporan polis.”
Awal hari ini, Bendahari PKR Wangsa Maju Chook Kin Heng nafi pernah menandatangani pengesahan penyata kewangan dibentangkan dalam mesyuarat agung pada 1 Mac, sambil mendakwa tandatangannya telah disalin semula serta ditampal pada dokumen terbabit.
Menurutnya, beliau membuat laporan polis dan aduan kepada parti supaya kontroversi itu disiasat bagi mengelakkan nama baik PKR tercemar.
Sementara itu, seorang lagi ahli yang juga calon ketua Pemuda Wangsa Maju Abel Shun Kit menyuarakan kebimbangan pemilihan jawatan kawasan itu berisiko terbatal jika benar berlaku ketidaktelusan.
“Pemimpin kena utamakan ketelusan, mesti pentingkan integriti kerana ini akan menjejaskan nama baik PKR,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh mengarahkan bahagian Wangsa Maju mengadakan mesyuarat khas hari ini untuk membentangkan penyata kewangan tersebut secara terperinci.