Pemegang saham minoriti bimbang hala tuju Cahya Mata Sarawak

Pemegang saham minoriti bimbang hala tuju Cahya Mata Sarawak

Mereka membangkitkan kerugian dalam bahagian fosfat dan isu tadbir urus korporat yang masih berlarutan.

Cahya Mata Phosphates Industries plant
Antara kebimbangan dikongsi pemegang saham minoriti adalah masalah dalam Cahya Mata Phosphates Industries. (Gambar CMPI)
PETALING JAYA:
Pemegang saham minoriti Cahya Mata Sarawak Bhd (CMSB) menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan loji fosfat syarikat itu dan isu tadbir urus korporat yang masih berlarutan.

Menurut beberapa pemegang saham minoriti yang ditemui FMT, perniagaan fosfat yang dikendalikan oleh Cahya Mata Phosphates Industries Sdn Bhd (CMPI) terus menjadi “lubang hitam kewangan” bagi kumpulan itu.

Kerugian dalam perniagaan fosfat telah menjadi beban utama kepada CMSB sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024, kumpulan itu mencatatkan peningkatan 48% dalam keuntungan sebelum cukai (PBT) kepada RM190.1 juta berbanding RM128.24 juta pada tahun sebelumnya.

Kumpulan itu juga melaporkan keuntungan pertukaran asing tidak direalisasikan sebanyak RM50 juta bagi suku keempat 2024, namun tiada penjelasan jelas mengenai bagaimana keuntungan ini diperoleh.

Bagaimanapun, semua bahagian perniagaan mencatatkan keuntungan lebih tinggi dalam tahun kewangan 2024 kecuali bahagian fosfat yang mengalami kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM96.8 juta. Pada tahun kewangan 2023, ia mencatatkan kerugian lebih besar iaitu RM156.7 juta.

Syarikat itu secara tidak langsung mengakui bahawa bahagian fosfat menjadi faktor utama yang menjejaskan kewangan kumpulan.

“Cahya Mata berpuas hati dengan pencapaian pada 2024 yang sejajar dengan jangkaan kami, kecuali bahagian fosfat di mana pengkomersialan loji telah ditangguhkan,” katanya dalam pemfailan bursa pada 18 Feb lalu.

“Kami menjangkakan proses pentauliahan akan bermula pada suku keempat 2025,” tambahnya.

Pemegang saham minoriti juga hairan bagaimana laporan kewangan terkini CMSB menunjukkan keuntungan operasi RM28.6 juta bagi bahagian fosfat dalam suku keempat tahun kewangan 2024, berbanding kerugian RM57.6 juta pada suku keempat tahun kewangan 2023.

“Bahagian fosfat tidak menjana sebarang hasil dalam suku keempat tahun kewangan 2024. Oleh itu, tidak jelas bagaimana keuntungan operasi ini diperoleh.

“Keuntungan operasi RM28.6 juta dalam suku keempat perlu dijelaskan secara terperinci oleh CMSB bagi memberikan pemahaman yang lebih jelas tentang prestasi kewangan bahagian fosfat,” kata mereka.

CMSB membina kompleks fosfat bersepadu pertama di Malaysia yang terletak di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu. Projek ini bertujuan memperluaskan jejak kumpulan itu dalam Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE), sekali gus mengukuhkan asas pendapatan syarikat.

Kumpulan itu pertama kali mengumumkan rancangannya untuk membina loji fosfat dengan perbelanjaan modal (capex) dianggarkan sebanyak RM1.04 bilion pada Jan 2014.

Pembinaan dijadualkan bermula pada 2014 dan loji itu sepatutnya siap sepenuhnya serta beroperasi pada 2018. Bagaimanapun, projek tersebut tergendala dan hanya siap pada akhir 2022, dengan pengeluaran komersial masih belum bermula.

Penyata kewangan terkini CMPI bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 menunjukkan jumlah pembinaan dalam kemajuan mencecah RM754 juta.

Pertikaian dengan Sesco belum selesai

Pemegang saham minoriti juga menyuarakan kebimbangan mengenai isu operasi, kewangan dan perundangan yang membelenggu projek loji fosfat syarikat itu, dan bertanya adakah masalah ini akan menjejaskan daya majunya.

Mereka juga membangkitkan pertikaian yang belum selesai berkaitan perjanjian pembelian tenaga (PPA) antara CMPI dan firma utiliti negeri Syarikat Sesco Bhd (Sesco) yang ditandatangani pada 2019.

Sejak itu, CMPI berdepan tuntutan balas sebanyak RM342.25 juta daripada Sesco berkaitan caj elektrik yang dikenakan ke atasnya.

Pertikaian itu tercetus apabila Sesco mengemukakan bil kepada kumpulan itu bagi jumlah kekurangan penggunaan elektrik dan kekurangan jaminan pembayaran terkumpul sebanyak RM266 juta setakat akhir Dis 2022. Namun, CMSB menegaskan bahawa loji tersebut masih belum memulakan operasi komersial.

Sesco memotong bekalan elektrik ke loji fosfat berkenaan pada Julai 2023 selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan CMPI untuk perintah pemeliharaan.

Pemegang saham minoriti berkata tanpa bekalan elektrik selama hampir 20 bulan, syarikat itu tidak dapat beroperasi dan mungkin terpaksa dilikuidasi.

“Bagaimana ujian dan pentauliahan dapat dijalankan tanpa bekalan elektrik? Bilakah loji ini akan bersedia untuk operasi komersial?”

Dalam pemfailan terbaharu, CMSB menyatakan bahawa tarikh perbicaraan bagi prosiding timbang tara antara CMPI dan Sesco diubah daripada Ogos tahun lalu kepada Mei 2025.

Secara teknikal muflis?

Pemegang saham juga mempersoalkan kewangan CMPI yang berada dalam keadaan genting. Berdasarkan penyata kewangan terkini, hutang semasa bersih berjumlah RM275 juta setakat 31 Dis 2023.

Mereka mendakwa, keadaan ini bermakna syarikat itu “secara teknikalnya muflis”.

Ini menimbulkan persoalan, patutkah CMSB menyuntik dana tambahan untuk menyelamatkan projek itu atau hentikan kerugian dan menjualnya, kata mereka.

Selain itu, pemegang saham turut tidak berpuas hati dengan kegagalan kumpulan melantik ketua audit dalaman baharu selepas jawatan itu dikosongkan oleh Asril Rahman Abdul Hadi pada Okt 2022.

“Ini adalah jawatan penting, jadi mengapa ia dibiarkan kosong terlalu lama?” soal mereka, sambil menegaskan bahawa juruaudit dalaman memainkan peranan penting dalam menilai risiko, memastikan pematuhan, dan mempromosikan tadbir urus yang beretika dalam organisasi.

Katanya, sekadar menyerahkan jawatan itu untuk diuruskan kepada seseorang dengan kapasiti sebagai pemangku tidak mencerminkan ketelusan dan akauntabiliti kewangan yang baik dalam syarikat.

Dengan mesyuarat agung tahunan CMSB dijadualkan pada 23 Mei, pemegang saham dijangka membangkitkan soalan sukar mengenai tadbir urus korporat dan daya maju CMPI pada masa hadapan.

Gesaan pemegang saham minoriti untuk memperkukuh ketelusan kewangan dan akauntabiliti dibuat di tengah-tengah tindakan undang-undang yang difailkan Timbalan Pengerusi CMSB, Mahmud Abu Bekir Taib, terhadap syarikat itu pada 6 Mac lalu untuk memeriksa akaunnya.

Saman itu yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kucing, menuntut perintah untuk CMSB mengemukakan dan membuka akaunnya serta lima anak syarikat, termasuk CMPI, untuk pemeriksaan.

Menurut laporan tahunan terkini, Abu Bekir, 61, anak kepada bekas ketua menteri Sarawak, Abdul Taib Mahmud itu memegang 0.5% saham CMSB setakat 29 Mac 2024.

Saham CMSB jatuh sebanyak 8.17% kepada 95.5 sen — paras terendah dalam 11 bulan — sehari selepas saman itu difailkan. Sahamnya ditutup pada 99 sen pada Jumaat, menjadikan nilai pasaran kumpulan itu RM1.05 bilion. Sejak awal tahun ini, sahamnya merosot sebanyak 16%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.