
Itu penampilan pertama Dusuki di mahkamah sejak dilantik sebagai peguam negara pada November lalu.
Beliau akan dibantu Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly manakala peguam Shafee Abdullah akan mewakili Najib.
Permohonan kebenaran itu akan didengar di hadapan panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya Hasnah Hashim, Hakim Zabariah Yusof dan Hakim Hanipah Farikullah.
Pada Februari lalu, peguam negara, sebagai pemegang kepentingan awam, turut memfailkan permohonan mendesak untuk mempercepatkan pendengaran kes itu.
Beliau juga mengemukakan tujuh persoalan undang-undang bagi meyakinkan Mahkamah Persekutuan untuk mendengar merit rayuan dan mengetepikan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan pada 6 Jan.
Bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, kebenaran untuk merayu hanya diberikan jika ada persoalan perlembagaan atau undang-undang baharu dan penting untuk kepentingan awam.
Dalam kenyataan, Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata permohonan itu dibuat berikutan tafsiran undang-undang yang berbeza dalam panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang menyebabkan keputusan berbelah bahagi.
Mahkamah Rayuan telah membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan melaksanakan titah adendum tambahan dikeluarkan bekas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Hakim Firuz Jaffril dan Hakim Azhahari Kamal Ramli berpendapat bahawa keputusan Mahkamah Tinggi, yang menyatakan afidavit Najib berdasarkan keterangan khabar angin, tidak boleh dikekalkan selepas bukti baharu dikemukakan oleh bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Mereka menyatakan bahawa Najib memperoleh salinan adendum itu daripada Sultan Pahang, yang merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-16, selepas perbicaraan Mahkamah Tinggi pada Julai.
Bagaimanapun, Hakim Azizah Nawawi, yang mempengerusikan panel Mahkamah Rayuan, tidak bersetuju dan berpendapat bahawa Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan yang betul dalam menyatakan bahawa perintah itu tidak boleh dikeluarkan terhadap Lembaga Pengampunan.
Azizah menjelaskan bahawa tiada peruntukan undang-undang yang boleh memaksa lembaga itu untuk mengesahkan atau mendedahkan kewujudan mana-mana perintah pengampunan, termasuk perintah adendum itu.