Pegawai imigresen mengaku tak salah minta, terima suapan RM16,000

Pegawai imigresen mengaku tak salah minta, terima suapan RM16,000

Tertuduh, Azdee Muaz Md Adnan, 50, didakwa melakukan perbuatan itu untuk membantu menyegerakan permohonan program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

mahkamah sesyen majistret ipoh
Azdee Muaz Md Adnan, 50, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima suapan RM16,000 untuk membantu menyegerakan permohonan program Rekalibrasi Tenaga Kerja.
PETALING JAYA:
Seorang pegawai Imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima suapan RM16,000 untuk membantu menyegerakan permohonan program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK), dua tahun lalu.

Tertuduh, Azdee Muaz Md Adnan, 50, mohon untuk dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi, lapor Sinar Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa meminta wang tunai RM10,800 daripada seorang kerani sebagai dorongan untuk mempercepatkan proses mendapatkan kuota dalam program RTK 2.0 bagi sebuah syarikat kejuruteraan melibatkan 54 orang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat syarikat berkenaan di Jalan Kamunting, Kamunting pada 25 Julai 2023.

Mengikut pertuduhan kedua pula, dia didakwa menerima suapan wang tunai sebanyak RM5,200 daripada seorang wanita berusia 33 tahun bagi tujuan sama di sebuah restoran di Ipoh Garden, dalam daerah Kinta antara 1 hingga 2 petang pada 3 Ogos 2023.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan pula, tertuduh yang juga pegawai gred KP22 didakwa telah menerima barangan berharga, iaitu wang tunai berjumlah RM5,200 bagi tujuan sama di lokasi dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM Shahrul Azuan Ghazali yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jaminan berjumlah RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat bahawa tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Perak setiap bulan.

Peguam Md Yusof Idris yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jumlah jaminan yang rendah kerana anak guamnya menyara isteri, tiga orang anak serta kedua-dua ibu bapanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, selain tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

Hakim memaklumkan jaminan itu akan terbatal sekiranya tertuduh didapati mengganggu saksi sepanjang prosiding kes hingga selesai.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 29 April depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.