
Hakim Amarjeet Singh tidak memberikan alasan terhadap keputusannya.
Hakim berkata Boey kini bebas untuk mendapatkan penilaian kerugian royalti buku yang dialami akibat pengharaman itu. Bagaimanapun, dia tidak membenarkan tuntutan Boey untuk ganti rugi.
Mahkamah juga memerintahkan kerajaan membayar kos RM3,000 kepada Boey, yang hadir di mahkamah.
Peguam Kanan Persekutuan Shahidah Nafisah Leman hadir untuk mewakili Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Susulan keputusan itu, Boey mengucapkan terima kasih kepada peguamnya, Gregory Das, yang dibantu oleh Clinton Tan dan Rachel Nyow.
Buku itu diterbitkan pada 2014.
Pada September 2023, KDN mengharamkan buku itu berikutan bantahan oleh NGO Indonesia di republik berkenaan.
Kerajaan berkata buku itu diharamkan kerana ia mengandungi bahan yang ‘berkemungkinan memberi prejudis kepada moral’ dan mengarahkan penjualannya dihentikan mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Boey sebelum ini berkata ‘When I Was A Kid 3’ adalah mengenai zaman kanak-kanaknya.
Dalam bab yang mungkin mencetuskan kontroversi itu, bekas pembantu Boey, seorang warga Indonesia, digambarkan memanjat pokok kelapa dengan kelajuan yang mengagumkan, membawa kepada kenyataan yang dibuat oleh bapanya yang mungkin menyinggung perasaan sesetengah pembaca.
Boey berkata, niatnya bukan untuk menyinggung perasaan sesiapa sebaliknya memuji kemahiran yang dipamerkan wanita itu.