
FMT merungkai isu utama yang berkisar dakwaan bertentangan dan fakta yang telah diketahui mengenai perkara itu.
Mengenai Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman
Terletak di tengah ibu negara, secara tepatnya rumah ibadat Hindu itu terletak di Jalan Bunus Enam berhadapan dengan Jakel Mall. Kawasan itu sering dikunjungi komuniti India untuk membeli tekstil dan juga orang Islam yang menunaikan solat di Masjid India.
Kuil itu dibina di atas sebidang tanah seluas 12,000 kaki persegi (1,100 meter persegi), kira-kira sebesar empat gelanggang tenis, yang dimiliki pembekal tekstil Jakel Trading Sdn Bhd.

Kuil tersebut hanya mengambil kira-kira satu pertiga daripada tanah itu, sementara selebihnya digunakan sebagai tempat letak kereta.
Struktur kuil yang ada sekarang dipercayai dibina pada tahun 1983. Namun ada dakwaan bahawa kuil ini telah dipindahkan pada 2008 dari lokasi asalnya, tetapi bekas presiden Malaysia Hindu Sangam A Vaithilingam berkata binaanya hanya berganjak sekitar dua hingga tiga kaki (sekitar satu meter) bagi memberi laluan kepada projek pelebaran jalan.
Timbalan Presiden MIC M Saravanan pula mendakwa bahawa pemindahan yang berlaku ketika itu hanyalah melibatkan kuarters pekerja kuil dan dilakukan atas permintaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 2006.
Jakel beli tanah
Pada 2012, jawatankuasa kuil memohon agar status tanah tersebut ditukar kepada kategori ‘tempat ibadat bukan Islam’, tetapi permohonan itu ditolak, dakwa Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran.
Pada tahun yang sama, tanah tersebut dibeli Jakel Trading, iaitu sebahagian daripada konglomerat milik keluarga Kumpulan Jakel.
Ketua Pegawai Kewangan Jakel Syed Nasrul Fahmi Syed Al-Qadri berkata bahawa ketika syarikat itu membeli tanah tersebut pada 2012, DBKL telah memaklumkan bahawa kuil itu hanya dibenarkan berada di situ secara sementara.
Dalam sidang media minggu lalu, beliau menegaskan bahawa perkara itu dinyatakan dalam perjanjian jual beli tanah dan Jakel tidak akan meneruskan pembelian tanah itu sekiranya kuil terbabit mempunyai status kekal.
Selama lebih satu dekad, Jakel telah berbincang dengan jawatankuasa kuil mengenai pemindahan tempat ibadat itu, tetapi syarikat tekstil itu menyatakan bahawa hubungan mereka dengan kuil masih dalam keadaan baik.
Pada 2021, Jakel menerima kebenaran untuk membina sebuah masjid di tapak terbabit namun menangguhkan pembinaan ‘atas dasar menghormati’ proses pemindahan kuil. Syarikat itu juga menyatakan kesediaan menanggung kos terbabit.
Menurut laporan terbaru, masjid yang dicadangkan itu dijangka dinamakan ‘Masjid Madani’
Syarikat itu juga berkata tanah tersebut tidak cukup besar untuk menempatkan kedua-dua rumah ibadat secara bersebelahan.
Setakat ini, Jakel belum mengeluarkan pelan rasmi atau saiz cadangan untuk masjid yang akan dibina.
Struktur haram?
Pada 21 Mac, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mendakwa bahawa kuil itu telah menceroboh tanah persendirian dan mempersoalkan penolakan jawatankuasa kuil supaya rumah ibadat berkenaan dipindahkan.
Di tengah-tengah kontroversi itu, beberapa video seorang pendakwah Islam telah tular dengan dakwaan bahawa kuil tersebut dibina tanpa kebenaran di atas tanah diperuntukkan untuk pembinaan masjid. Ada juga dakwaan bahawa kuil itu hanya dibina pada 2008.
Bagaimanapun, Saravanan menegaskan bahawa kelulusan DBKL terhadap pengubahsuaian kuil sebelum ini membuktikan bahawa ia dibina secara sah.
Beliau berkata, sekiranya kuil itu tidak sah, pihak berkuasa sudah tentu merobohkannya pada 2008.
Ahli Parlimen Tapah itu juga menambah semasa tanah itu masih di bawah DBKL, statusnya adalah ‘pembangunan bercampur’.
Langkah seterusnya?
Ada seruan agar kuil itu dibenarkan kekal dan wujud bersama dengan masjid yang dicadangkan. Antara menyokong cadangan ini ialah jawatankuasa kuil, Pengerusi Urimai P Ramasamy, dan kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty.
Walaupun Jakel mengatakan bahawa tanah sedia ada terlalu kecil, syarikat itu dikatakan sedang mempertimbangkan untuk membeli tanah bersebelahan bagi membina masjid, sebagai sebahagian daripada penyelesaian secara baik.
Namun, perkara ini bergantung kepada rundingan untuk mendapatkan tanah tambahan yang dijangka menelan kos tinggi memandangkan lokasinya yang strategik di tengah Kuala Lumpur.
Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pemimpin kerajaan lain menyeru semua pihak bertenang. Anwar juga menegaskan bahawa kerajaan persekutuan tidak terlibat dalam keputusan pembinaan masjid itu.
Majlis pecah tanah pembinaan masjid itu bakal berlangsung 27 Mac depan yang dijangka disempurnakan Anwar.
Dalam keadaan di mana isu itu mendapat perhatian awam dan tentangan terhadap pemindahan kuil semakin meningkat, masih belum dapat dipastikan sama ada penyelesaian secara damai dapat dicapai.