
Beliau berkata, selepas meneliti pelbagai faktor termasuk kemudahan dan kos penyelenggaraan, Muara Tebas didapati lebih sesuai sebagai pangkalan baharu tentera laut daripada lokasi asal yang dicadangkan, Bintulu.
“Perbincangan awal dengan kerajaan Sarawak telah diadakan, kedua-dua pihak (kerajaan negeri dan tentera) bersetuju pemindahan ke Muara Tebas atas pelbagai faktor.
“Jika di Bintulu, kos penyelenggaraan di sana akan lebih tinggi. Kita telah mempertimbangkan dari segi kos, kajian kebolehlaksanaan serta infrastruktur untuk pangkalan tersebut,” katanya menurut Bernama selepas mengadakan lawatan kerja ke Markas Taktikal Balai Ringin, Serian.
Nizam berkata, pangkalan baharu itu bakal menjadi antara pangkalan laut moden di Sarawak, dengan keupayaan setanding Pangkalan Tentera Laut Teluk Sepanggar, Sabah.
“Esok, tentera akan melawat tapak di Muara Tebas dan berbincang mengenai langkah seterusnya kerana kita memerlukan sebuah pangkalan tentera laut di Sarawak,” katanya.
Berkenaan dengan keselamatan sempadan negara, beliau berkata jumlah pos kawalan Malaysia dan Indonesia perlu seimbang, selain perlu membuat penilaian untuk mewujudkan pos gabungan antara kedua-dua negara agar keselamatan sempadan dapat diperkukuh.
“Ketika ini, terdapat lima pos gabungan Malaysia-Indonesia, kita juga akan menilai keperluan meningkatkan kemudahan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) di sempadan.
“Jika Indonesia mempunyai ICQ di sempadan mereka, kita juga perlu memastikan ICQ berada di sebelah kita bagi mengelakkan ketidakseimbangan dalam kawalan keluar masuk,” katanya.
Beliau berkata, satu lawatan kerja akan diadakan pada Mei ini melibatkan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, kastam dan imigresen bagi membincangkan pendekatan terbaik untuk menyelaraskan kawalan sempadan secara lebih bersepadu.