
Jules Rahman Ong berkata banyak pihak memainkan sentimen bahawa kerajaan mahu merobohkan kuil itu dan membina sebuah masjid di tapaknya.
“Itu tidak betul. Tanah itu kini milik entiti swasta dan mengikut undang-undang, tanah persendirian menurut sistem Torrens yang kita amalkan, memberikan hak penuh kepada pemiliknya.
“Ini disokong oleh undang-undang negeri dan Kanun Tanah Negara,” katanya di Facebook.
Katanya, jika benar pihak kuil menerima kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk berpindah ke lokasi ketika ini pada 2008, isu ini sepatutnya berkisar tentang undang-undang dan kegagalan DBKL dalam mengurus tanahnya sendiri.
“Biarkan ia diputuskan di mahkamah sebagai isu perundangan, bukan sebagai konflik perkauman dan agama,” kata Ong yang merupakan pengarah, penerbit, dan wartawan bebas.
Semalam, Ahli Parlimen Batu P Prabakaran mendakwa kuil berkenaan dipindahkan ke lokasi semasa pada 2008 atas permintaan kerajaan melalui DBKL.
Beliau ada dakwaan salah mengenai kuil itu termasuklah dibina penganut Hindu di lokasi semasa di luar Jalan Masjid India walaupun tanah tersebut bukan milik mereka.
Prabakaran juga mendakwa pihak kuil memohon pada 2012 untuk menukar status tanah itu kepada tanah rizab rumah ibadat bukan Islam, tetapi permohonan itu ditolak.
Dalam sidang media di kuil itu hari ini, M Saravanan yang juga timbalan menteri wilayah persekutuan dari 2008 hingga 2013, menafikan bahawa kuil itu dipindahkan pada 2008.
Timbalan presiden MIC itu berkata, pemindahan hanya membabitkan kuarters pekerja kuil bagi memberi laluan kepada projek pelebaran jalan.
Beliau juga menafikan kuil itu dibina secara haram dan menegaskan rumah ibadat itu telah lama diiktiraf oleh DBKL.