Polis cekup individu disyaki ugut bunuh Firdaus Wong

Polis cekup individu disyaki ugut bunuh Firdaus Wong

Polis Petaling Jaya berkata lelaki itu ditangkap dan kenyataan media akan dikeluarkan.

Firdaus Wong
Pendakwah, Firdaus Wong, mendakwa menerima mesej beliau menerima ancaman bunuh sebanyak dua kali. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Lelaki dipercayai menggugut bunuh pendakwah, Firdaus Wong, susulan kenyataan berkait isu kuil di tanah milik pihak lain ditahan, kata Ketua Polis Petaling Jaya Shahrulnizam Ja’afar.

“Suspek sudah ditahan dan kenyataan media akan dikeluarkan,” katanya kepada Harian Metro.

Dilaporkan, Firdaus membuat laporan polis selepas mendakwa menerima ugutan bunuh di Facebook, berkait kenyataan dibuat melibatkan isu pembinaan kuil.

Firdaus, 40, dilaporkan berkata, ugutan itu diterima dalam mesej peribadi platform tersebut oleh satu akaun media sosial.

“Individu terbabit secara terang dan jelas mengugut untuk membunuh saya jika berjumpa. Ugutan terbabit diulang sebanyak dua kali.

“Saya tidak pasti tujuan dia berbuat demikian tapi berkemungkinan ada kaitan dengan kenyataan saya berhubung isu pembinaan kuil haram.

“Saya hanya bercakap soal undang-undang dan fakta tetapi individu itu pula beremosi tanpa fakta sehingga membuat ugutan bunuh,” katanya menurut laporan.

Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman Temple di Kuala Lumpur mencetuskan kontroversi susulan dakwaan rumah ibadat itu akan dirobohkan bagi membuka laluan kepada pembinaan masjid.

Pada Khamis, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata pihaknya telah mengenal pasti tapak untuk penempatan semula kuil itu. Agensi berkenaan juga menyatakan masjid itu bukan dicadangkan oleh kerajaan, tetapi oleh syarikat swasta sebagai pemilik tanah yang sah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.