
Tampil menjawab dakwaan tular di media sosial terbabit, Ahli Parlimen Bera itu menyifatkannya sebagai cubaan menjejaskan imejnya dan memecahbelahkan hubungan serta menimbulkan kesangsian antara wakil rakyat Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, beliau pada mulanya enggan melayan dakwaan berkenaan namun tampil menjawabnya selepas melihatnya terus disebarkan melalui tulisan dan video.
“Saya anggap mungkin ada niat kurang baik bila ada sebarkan cerita sebegini terutamanya terhadap saya sendiri dan ia merosakkan imej saya sedangkan saya selalu katakan tetap bersama Umno,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau yang juga bekas naib presiden Umno berkata sokongan penuh Ahli Parlimen BN dapat dilihat menerusi beberapa tindakan yang telah diambil seperti undi usul percaya terhadap kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.
“Apabila dibentangkan pada peringkat awal dulu, seluruh 30 Ahli Parlimen BN menyokong penuh usul yang dibawa dan setiap kali rang-rang undang dibawa, kita sokong sepenuhnya,” katanya berharap penafian itu dapat menamatkan sebarang desas desus.
Pada 17 Mac lalu, Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir turut menafikan dakwaan mengatakan 14 Ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadap kerajaan perpaduan.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai usaha menjejaskan perpaduan antara wakil rakyat dalam kerajaan perpaduan.