Bukan peluru berpandu, tapi alat kajian marin hanyut

Bukan peluru berpandu, tapi alat kajian marin hanyut

Objek menyerupai bahan letupan itu dipercayai hanyut akibat ombak Monsun Timur Laut.

Ketua Polis Kuala Terengganu Azli Mohd Noor, berkata alat kajian marin berbentuk seperti peluru berpandu itu dipercayai milik sebuah universiti tempatan. (Gambar Bernama)
KUALA NERUS:
Polis mengesahkan penemuan objek besi berbentuk seumpama torpedo di Pantai Seberang Takir bukan bom sebenar.

Ketua Polis Kuala Terengganu Azli Mohd Noor, berkata pihaknya menerima panggilan orang awam kira-kira 7.30 pagi tadi memaklumkan penemuan objek berbentuk seakan peluru berpandu sepanjang 2.7m.

Beliau berkata, pemeriksaan unit pemusnah bom di lokasi mendapati objek seberat 70kg berbentuk torpedo yang mempunyai banyak pendawaian itu bukanlah bom seperti disangka, dan hasil ujian juga mendapati objek itu bebas bahan radiasi berbahaya.

“Sebaliknya, ia adalah alat kajian marin yang dianggar bernilai RM1 juta,” katanya ketika ditemui.

Azli berkata, polis sedang mengesan pemilik objek tersebut yang dipercayai dihanyutkan ombak Monsun Timur Laut (MTL).

“Kita sedang mengesan pemilik objek berkenaan. Tiada tanda ia milik syarikat…kita percaya ia milik sebuah universiti tempatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.