Saman baharu, dakwaan ‘rampasan kuasa’ hangatkan isu Cahya Mata Sarawak

Saman baharu, dakwaan ‘rampasan kuasa’ hangatkan isu Cahya Mata Sarawak

Mahmud Abu Bekir Taib berkata beliau dinafikan haknya sebagai pengarah untuk memeriksa rekod perakaunan Cahya Mata Sarawak Berhad dan anak syarikatnya.

Sulaiman Abdul Rahman Taib n Mahmud Abu Bekir Taib
Mahmud Abu Bekir Taib (kiri) dan Sulaiman Abdul Rahman Taib, anak bekas gabenor Sarawak Abdul Taib Mahmud adalah timbalan pengerusi serta pengarah urusan kumpulan Cahya Mata Sarawak Berhad.
PETALING JAYA:
Isu berterusan di Cahya Mata Sarawak Berhad mengalami perkembangan baharu pada Khamis apabila syarikat disenaraikan di Bursa itu mendedahkan ia memulakan tindakan undang-undang terhadap Mahmud Abu Bekir Taib dan enam yang lain selepas dakwaan “rampasan kuasa” dalam bilik mesyuarat.

Syarikat itu berkata, saman berkenaan difailkan atas dakwaan pelbagai pelanggaran berkaitan pelaksanaan projek di bawah transformasi digital Cahya Mata.

Mahmud berkata, beliau “terkejut dan berang” dengan perkembangan baharu ini.

“Saya belum terima sebarang dokumen mahkamah, tetapi ini jelas berkaitan tuduhan lama yang dibersihkan lembaga pengarah syarikat sebelum ini. Ia satu lagi langkah untuk menghalang saya melaksanakan kuasa, hak dan tugas saya sebagai pengarah serta timbalan pengerusi kumpulan.

“Saya yakin dapat membatalkan saman remeh ini dan mendorong usaha saya memperbetulkan keadaan di Cahya Mata Sarawak,” katanya ketika dihubungi FMT.

Saman ini menyusul tindakan Pengarah Urusan kumpulan, Sulaiman Abdul Rahman Taib memfailkan afidavit minggu lalu untuk menolak prosiding terdahulu dikemukakan abangnya, Mahmud yang memohon akses kepada rekod perakaunan dan dokumen lain milik lima anak syarikat Cahya Mata.

Mahmud, 61, dan Sulaiman adalah anak Allahyarham Abdul Taib Mahmud, bekas gabenor dan ketua menteri Sarawak.

Dalam afidavitnya, Sulaiman, 56, meminta mahkamah menolak permohonan Mahmud kerana bimbang akan memberi kesan kepadanya secara peribadi.

“Tidak mustahil untuk mendakwa plaintif (Mahmud) cuba melancarkan rampasan kuasa bagi menyingkirkan saya sebagai pengarah Cahya Mata,” katanya dalam afidavit disahkan pada 13 Mac yang dilihat FMT.

Pada 5 Mac lalu, Mahmud, timbalan pengerusi kumpulan dan pengarah Cahya Mata selama 30 tahun, memfailkan saman pemula (OS) di Mahkamah Tinggi Kuching untuk memohon hak memeriksa buku dan rekod lima anak syarikat Cahya Mata.

Anak syarikat terbabit adalah Cahya Mata Phosphates Industries Sdn Bhd, Cahya Mata Cement Sdn Bhd, Oiltools International Sdn Bhd, Cahya Mata Oiltools Sdn Bhd dan Cahya Mata Professionals Sdn Bhd.

Permohonan itu dikemukakan berdasarkan Seksyen 245(4) dan (8) Akta Syarikat 2016.

Seksyen 245(4) menyatakan rekod hendaklah sentiasa terbuka untuk pemeriksaan pengarah.

Seksyen 245(8) menyatakan mahkamah boleh memerintahkan rekod perakaunan dan rekod lain syarikat dibuka untuk pemeriksaan juruaudit syarikat diluluskan yang bertindak bagi pihak pengarah, tertakluk kepada aku janji bertulis diberikan kepada mahkamah bahawa maklumat diperoleh semasa pemeriksaan tidak boleh didedahkan, kecuali kepada pengarah itu.

Dalam OS itu, Mahmud memohon mahkamah memerintahkan syarikat memberikan beliau atau juruaudit, akauntan atau peguam dilantiknya hak memeriksa dan membuat salinan rekod syarikat dalam tempoh tujuh hari.

Mahmud dalam sumpahnya berkata, beliau sedia memberikan aku janji bertulis bahawa semua maklumat diperoleh semasa pemeriksaan hanya akan didedahkan kepadanya.

Dalam afidavit sokongannya, katanya, beliau menulis surat kepada syarikat pada 19 dan 27 Feb lalu meminta untuk memeriksa rekodnya.

Mahmud berkata, Pengerusi kumpulan, Zahidi Zainuddin pada 28 Feb lalu membalas kelulusan lembaga pengarah diperlukan sebelum akses diberikan.

Zahidi juga berkata, permohonan perlu dikemukakan kepada setiap anak syarikat untuk kelulusan sebelum pemeriksaan.

“Sekatan itu dirancang untuk melambatkan dan/atau menafikan hak saya sebagai pengarah syarikat untuk mempunyai akses penuh kepada rekod perakaunan dan rekod lain syarikat serta anak syarikatnya,” kata Mahmud dalam afidavitnya.

Menurutnya, tindakan syarikat itu “tidak sah” dan bertentangan Seksyen 245(8) serta perlembagaan syarikat.

Tetapi, dalam afidavit jawapannya, Sulaiman menuduh Mahmud mempunyai “tujuan tersembunyi” dalam mengemukakan permohonan itu.

Beliau mendakwa Mahmud mahu membenarkan peguamnya mendapat akses kepada dokumen yang akan membantu anak guam lain firma guaman itu dalam pelbagai kes lain membabitkan Cahya Mata atau anak syarikatnya.

“Saya dinasihatkan peguam Cahya Mata dan sesungguhnya percaya sejak plaintif memulakan saman pemula ini terhadap Cahya Mata, beliau bertindak mala fide (dengan niat jahat),” kata Sulaiman dalam afidavitnya.

“Rekod perakaunan dan rekod lain Cahya Mata akan menyebabkan kemudaratan tidak dapat dipulihkan jika jatuh ke tangan salah.”

Sulaiman turut mendakwa hak Mahmud memeriksa dokumen itu tidak mutlak dan Mahmud tidak boleh berbuat demikian sekarang kerana beliau bukan lagi pengarah lima anak syarikat terbabit ketika OS difailkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.