MyKad instrumen berkesan salur bantuan sosial, kata Fomca

MyKad instrumen berkesan salur bantuan sosial, kata Fomca

CEO Fomca T Saravanan berkata MyKad bantu kurangkan kerenah birokrasi yang memudahkan permohonan untuk mendapat bantuan kerajaan.

payment using ic pembayaran menggunakan kad pengenalan
MyKad yang diperkenalkan pada 2001 dapat diakses dengan pantas dan selamat untuk menjalankan pelbagai transaksi elektronik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Berkesan mengurangkan kerenah birokrasi menjadikan MyKad instrumen paling berkesan melancarkan permohonan bantuan sosial masa kini dan mendatang, kata Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Ketua Pegawai Eksekutif, T Saravanan, berkata kad pintar itu membantu mengurangkan pelbagai proses yang tidak memerlukan pemohon mengemukakan dokumen fizikal berulang kali memandangkan segala maklumat telah diselaraskan.

Beliau memberi contoh penerima bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) hanya perlu mengemukakan butiran dalam MyKad yang permohonannya diproses segera.

“Bantuan dapat disalurkan terus ke akaun bank penerima menjadikan proses lebih cekap serta mengurangkan risiko kelewatan atau kehilangan manfaat selain menjimatkan kos pentadbiran.

“Langkah ini dapat memastikan ketelusan, kecekapan dan ketepatan dalam pengagihan bantuan kepada golongan benar-benar memerlukan serta elak ketirisan,” katanya kepada FMT.

Mengikut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), MyKad yang diperkenalkan pada 2001 dapat diakses dengan pantas dan selamat untuk menjalankan pelbagai transaksi elektronik seperti pengesahan identiti, kesihatan, pembayaran, pengaksesan, perniagaan serta perkhidmatan peruncitan.

Ciri keselamatannya termasuklah pengesahan menggunakan kekunci simetri kriptografi, sistem operasi pelbagai lapisan dengan ‘firewall’ serta landasan cip yang selamat.

Mencadangkannya digunakan bagi melancarkan pelaksanaan subsidi bersasar RON95, bagaimanapun Saravanan menggesa kerajaan menyediakan pusat bantuan fizikal serta talian khidmat pelanggan untuk membantu kumpulan tertentu..

“Pemantauan dan penilaian berkala terhadap keberkesanannya juga perlu dipertingkatkan selain menerbitkan laporan data penerima serta impak bantuan kepada golongan sasaran bagi meningkatkan akauntabiliti kerajaan.

“Ini juga membolehkan kelemahan dalam sistem dikesan dan diperbaiki,” katanya.

Bagi penerima STR, Izhar Thamrin,32, penggunaan MyKad memudahkan proses untuk menerima bantuan itu yang digunakannya untuk menampung perbelanjaan dapur.

“Memang mudah kerana hanya perlu MyKad,” katanya yang berharap bantuan STR dapat ditingkatkan pada masa depan mengambil kira kenaikan kos sara hidup.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.