
Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ketika ini empat negeri yang ditadbir pembangkang atau dikenali sebagai SG4 (State-Government 4) itu tidak menunjukkan sebarang perubahan signifikan dari segi ekonomi dan pembangunan.
“PN gagal menguruskan ekonomi di negeri SG4 iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis untuk dijadikan model jika sekali lagi mahu mentadbir Putrajaya.
“SG4 Group Sdn Bhd yang kononnya akan membawa kemajuan ekonomi kepada empat negeri pembangkang terbukti tidak praktikal dan tidak memberi kesan signifikan kepada pembangunan negeri tersebut,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang melaungkan keyakinan gabungan itu mampu menerajui negara lebih baik untuk membetulkan isu asas rakyat berbanding kerajaan perpaduan.
Menteri sumber asli dan kelestarian alam berkata prestasi Muhyiddin ketika menjadi perdana menteri juga mengecewakan kerana beliau juga gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik.
Nik Nazmi berkata, sebagai pembangkang juga, Muhyiddin dan PN menunjukkan prestasi yang mengecewakan kerana gagal memberi kesan yang efektif di Parlimen.
“Ketika sesi pertanyaan perdana menteri (di Dewan Rakyat), mereka (pembangkang) jarang mengajukan soalan yang substantif dan kritis untuk kebaikan rakyat.
“Kabinet bayangan yang dibentuk PN juga tidak berfungsi sebagai semak dan imbang yang efektif malah gagal menawarkan belanjawan alternatif sebagai blok pembangkang untuk dinilai rakyat,” katanya.
Mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa PN akan menawan Putrajaya melalui proses demokrasi, Nik Nazmi berkata ini menunjukkan pembangkang mengakui tidak berupaya menjatuhkan kerajaan kerana kerjasama dalam kerajaan perpaduan kukuh dan utuh.