
Lai Chen Heng berkata semasa mesyuarat agung tahunan bahagian itu pada 1 Mac lalu tiada sebarang bantahan dibuat mengenai laporan kewangan tersebut.
Katanya, selepas ia dipertikaikan, beliau merujuk Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh yang mengarahkan bahagian mengadakan mesyuarat khas 24 Mac ini untuk membentangkan secara terperinci penyata berkenaan.
“Setiausaha agung arahkan satu mesyuarat agung tahunan khas diadakan 24 Mac ini untuk sekali lagi meluluskan resolusi termasuk bentang secara spesifik penyata kira-kira yang menjadi pertikaian walaupun secara asasnya tiada sebarang pelanggaran berlaku.
“Mesyuarat khas ini proses biasa bagi mengesahkan perjalanan tatakelola mesyuarat sahaja malah proses pemilihan parti April ini juga boleh diteruskan dan ia tidak menjejaskan perjalanan pertandingan,” katanya kepada FMT.
Lai juga berharap ahli tidak keliru dengan isu yang berlaku dan minta semua pihak termasuk yang bertanding bersaing dalam semangat kekeluargaan dan tidak menggunakan taktik kotor.
Terdahulu, seorang pemimpin PKR mendakwa mesyuarat agung tahunan Wangsa Maju yang berlangsung 1 Mac lalu itu tidak sah susulan wujud pemalsuan pembentangan penyata kewangan sekali gus bakal menyebabkan bahagian itu berisiko digantung.
Pemimpin itu yang enggan dikenali berkata tindakan setiausaha bahagian memanggil mesyuarat khas pada 24 Mac ini bagi membuat pindaan laporan kewangan itu juga dibimbangi tidak sah kerana jawatankuasa itu sudah terbubar selepas 1 Mac.
Pemilihan jawatan ketua PKR Wangsa Maju menyaksikan pertembungan di antara penyandang Lai dicabar Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan dan juga Abdullah Talip dari Otai Reformis 1998.