
Pengerusi BN Perak Saarani Mohamad berkata keputusan itu kerana tarikh tersebut bertindih dengan sambutan Aidilfitri peringkat kebangsaan 2025 di Melaka, lapor Bernama.
“Semua orang ke sana dan pada keesokannya kita turut mengambil kira orang ramai akan pulang ke kawasan masing-masing selepas seminggu berhari raya, jadi lebuh raya akan sesak.
“Oleh itu, kita akan mengadakan pengumuman pada 7 April bersempena dengan sambutan Aidilfitri Parlimen Tapah,” katanya kepada wartawan di satu program di Tapah.
Saarani berkata, pengumuman itu akan dibuat pengerusi BN yang juga Presiden Umno Zahid Hamidi di Rancangan Perumahan Tersusun Kampung Haji Tahir di Temoh.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK Ayer Kuning pada 26 April ini, dengan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung selepas menyertai kejohanan bola sepak di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang.
Sementara itu, Saarani BN tidak gentar menghadapi mana-mana calon termasuk Parti Sosialis Malaysia (PSM) atau pertandingan lebih tiga penjuru pada PRK itu.
Media sebelum ini melaporkan Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan mengumumkan parti berkenaan akan meletakkan calon untuk bertanding di kerusi itu yang pernah ditandingi pada PRU15, namun tewas selepas calon mereka Bawani KS hanya memperoleh 586 undi.