
Fadhlina berkata kemahiran dimiliki graduan TVET membolehkan mereka ditawarkan peluang pekerjaan meskipun belum menamatkan pengajian, lapor Bernama.
Katanya, ia selaras unjuran kementerian agar perhatian ditumpukan pada bidang kemahiran supaya dapat membina kepakaran negara dengan kekuatan tenaga kerja sendiri khususnya pelajar di peringkat vokasional.
“Inisiatif ini juga hendaklah dilaksanakan bersama industri kemahiran lain bagi memastikan hasil yang lebih berkesan dan dapat dimanfaatkan khususnya meningkatkan kemahiran anak-anak di kolej vokasional,” katanya selepas merasmikan Kolej Vokasional Sandakan 2, di Sandakan.
Beliau juga menggesa agar kolej vokasional tidak ketinggalan kerana tumpuan pada masa ini adalah TVET yang menyeluruh dan kursus-kursus relevan juga perlu diperhalusi supaya mengikut kehendak pasaran.
Katanya, pemain industri juga memainkan peranan dalam membantu melihat kegiatan kokurikulum pendidikan yang wajar untuk diberikan perhatian supaya dapat menaik taraf kolej vokasional.
“Saya berharap kita akan dapat memaksimumkan kemasukan anak-anak Sabah ke kolej vokasional di Sandakan ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan terdapat perancangan untuk menambah kolej vokasional di Sabah bagi memberi peluang saksama kepada anak negeri itu dalam TVET.