
Cabaran ini menyusuli kritikan demi kritikan terhadap presiden PAS itu yang dikatakan menyalahgunakan agama dalam arena politik.
“Bolehkah dia memetik ayat al-Quran yang menyokong apa yang dia katakan?” Tawfik Ismail beritahu FMT.
Tawfik, anak kepada bekas timbalan perdana menteri Dr Ismail Abdul Rahman, berkata Hadi tidak seharusnya mengeksploitasi agama untuk mengelirukan orang ramai.
Pada Rabu, Syerleena Abdul Rashid daripada DAP berkata pengisytiharan Hadi mengelirukan dan membahayakan asas demokrasi negara.
Katanya, had tempoh jawatan amalan biasa dalam demokrasi bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa.
Tawfik berkata pelaksanaan had dua penggal aspek utama tadbir urus yang baik, dan akan menggalakkan pemilihan kepimpinan yang lebih berkesan.
“Ia sebahagian daripada demokrasi. Orang ramai yang mengundi merasakan ia parameter pemerintahan yang baik untuk pemimpin.”
Bekas Ahli Parlimen Benut itu seterusnya berkata bahawa peraturan dua penggal itu akan menggalakkan parti politik mempertimbangkan calon-calon kepimpinan dengan teliti untuk jangka panjang.
Pada Rabu, Hadi menolak gesaan DAP untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri, dan berkata tanggungjawab adalah ‘amanah besar daripada Allah’.
Ahli Parlimen Marang itu juga memberi amaran bahawa penyelewengan yang paling sesat adalah apabila umat Islam terpengaruh dengan golongan bukan Islam.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil mempersoalkan mengapa PAS berkali-kali memilih menjadikan DAP sebagai kambing hitam dalam naratif politiknya.
Beliau berkata PAS sebelum ini bekerjasama baik dengan DAP dalam Pakatan Rakyat, malah menangguhkan pembentangan rang undang-undang hudud sehingga isu gaji minimum diselesaikan.
“Namun kini, PAS menggunakan agama untuk menyerang parti yang sama.”
Faiz menggesa PAS memainkan peranan yang membina semasa menjadi pembangkang. Beliau menyeru parti itu supaya mengelak daripada berulang kali menggunakan kaum dan agama untuk kepentingan politik, dan menambah Malaysia tidak akan maju sekiranya masih terperangkap dalam politik sedemikian.
Penganalisis politik, Azmi Hasan dari Akademi Nusantara, tidak terkejut melihat Hadi menggunakan agama untuk menentang inisiatif DAP, dan menambah ahli politik tidak seharusnya merendahkan martabat sebegitu rendah.
“Ia memburukkan imej Islam. Sepatutnya dia beri justifikasi yang munasabah, tetapi Hadi menjadikan isu ini berkaitan agama pula,” katanya kepada FMT.
Azmi berkata mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri antara perkara yang mencerminkan tadbir urus yang baik.